ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Negeri akan memulakan usaha mengumpul di samping memperkemaskan maklumat mengenai rakyat bagi memastikan penyampaian bantuan pada masa depan lebih efisien.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, usaha tersebut akan direalisasikan menerusi Agenda Johor Digital selain pertimbangan untuk melakukan bancian kemiskinan dan keadaan isi rumah.
“Bancian ini akan diadakan secara dalam talian menerusi mekanisme yang terperinci dan telus agar maklumat yang sahih boleh diproses dan diterima pakai. Ia adalah penting agar polisi berkenaan dapat dijalankan dengan sebaik mungkin.
“Usaha ini juga akan melibatkan data-data daripada Kementerian Kewangan, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan data sedia dalam Sistem E-Ihsan Johor,” katanya.
Beliau menjawab soalan K.Raven (BN-Tenggaroh) yang berkenaan Bantuan Ihsan Johor dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hasni berkata, menerusi Belanjawan Johor 2021, pelbagai inisiatif pelindungan sosial telah dibentangkan.
“Antaranya melibatkan bantuan seperti RM300 kepada penerima bantuan, pemandu teksi (RM500), mahasiswa (RM150), pengusaha bas (RM500), pemandu e-hailing dan pelajar sekolah masing-masing RM100.
“Semoga usaha bantuan bersasar ini akan lebih efisien dalam meringankan beban rakyat ekoran pandemik Covid-19 ini.
“Pada masa akan datang, bantuan bersasar akan dipertingkatkan dan diperluaskan merentasi pelbagai golongan yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE