Jangan ada jangkitan Covid-19 dalam kampus - Utusan Malaysia

Jangan ada jangkitan Covid-19 dalam kampus

NORAINI Ahmad bergambar bersama penuntut IPT di seluruh negara secara video dalam majlis perasmian Pembudayaan Norma Baharu Kementerian Pengajian Tinggi hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini diminta bertegas dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi agar tidak berlaku jangkitan Covid-19 di dalam kampus.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, aktiviti keramaian atau program luar kuliah yang menghimpunkan orang ramai dan menyukarkan kawalan keadaan pada satu-satu masa hendaklah dielakkan.

Dalam hal ini, kata beliau, pentabdiran IPT seharusnya memastikan mahasiswa, kakitangan akademik dan kumpulan pelaksana tidak berada di dalam ruang rapat serta tertutup dalam tempoh lama.

“Dari aspek pemantauan, warga pengajian tinggi termasuk semua penuntut hendaklah memanfaatkan sepenuhnya aplikasi MySejahtera.

“Ini penting bagi membantu Kementerian Kesihatan memantau dan menjejaki kontak rapat sekiranya terdapat kes indeks direkodkan,” katanya ketika berucap merasmikan Kempen Pembudayaan Norma Baharu Kementerian Pengajian Tinggi secara maya, di sini hari ini.

Noraini berkata, kementerian prihatin dengan keperluan tenaga pengajar dan para penuntut di IPT dalam norma baharu terutama dari aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Katanya, pelaksanaan PdP secara dalam talian adalah antara norma baharu yang perlu disantuni secara menyeluruh.

Beliau menjelaskan, kementerian juga sangat komited untuk sentiasa mempromosi pembudayaan norma baharu dalam kalangan warga pengajian tinggi dengan menggunakan kaedah media sosial, siar raya, hebahan melalui e-mel serta medium promosi lain yang bersesuaian.

“Selain inisiatif-inisiatif yang kerajaan umumkan sebelum ini seperti bantuan kemudahan pakej pelan data dan peranti, keterbukaan dan ketersediaan ekosistem pendidikan tinggi negara terhadap horizon baharu kaedah PdP juga menjadi faktor penting kepada kejayaan kempen ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN