GEORGE TOWN: Prestasi murid yang tiada peranti mudah alih atau telefon bimbit, komputer dan internet bagi menyertai Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian akan terganggu dan bermasalah.
Pengerusi Muafakat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daerah Barat Daya, Ismail Kassim berkata, sesi pembelajaran murid akan terjejas dan menyebabkan mereka mungkin tercicir.
“Pada saya, mereka (murid-murid) mudah mempelajari apa yang diajar cuma dari segi pergaulan terbatas dan akan ketinggalan pembelajaran bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan peranti mudah alih atau akses internet di rumah.
“Jika ada pun, kemungkinan murid-murid yang mengalami masalah pembelajaran yang akan terjejas ketika ini. Cuma dalam keadaan sebegini, apa yang diharapkan adalah memperbanyakkan siaran atau rancangan pendidikan menerusi saluran televisyen,” katanya.
Justeru, beliau menyarankan kerajaan menaik taraf rangkaian dan kapasiti capaian internet serta jualan gajet dengan harga mampu milik.
Sementara itu, Pengerusi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Cawangan Pulau Pinang, NG Weng Tutt berkata, pihaknya menerima aduan guru-guru berhubung kekangan kemudahan peranti mudah alih dalam kalangan pelajar.
Menurut beliau, kekurangan pelajar tersebut secara tidak langsung memberi tekanan kepada guru yang diwajibkan melaksanakan PdP.
“Aduan lain pelajar guna telefon bimbit ibu bapa dan jika ibu bapa tiada di rumah pelajar tidak boleh sertai PdP.
“Terdapat juga aduan kehadiran pelajar semasa sesi PdP tidak ramai. Ini bukan sahaja memberi tekanan buat guru malah terhadap prestasi murid-murid berkenaan juga,” katanya ketika dihubungi semalam. – UTUSAN











