GEORGETOWN: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berharap peruntukan sebanyak RM400 juta bagi perlindungan biodiversiti menerusi Belanjawan 2021 kelmarin digunakan sebaiknya oleh setiap negeri.
Dalam kenyataan bersama, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abd. Kadeer dan Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), R. Meenakshi berkata, ia adalah langkah tepat dalam membantu kerajaan negeri melindungi hutan dan biodiversiti di negeri masing-masing.
Menurut mereka, adalah mustahak peruntukan itu diguna dan diuruskan dengan baik oleh setiap kerajaan negeri khususnya dalam usaha menggazetkan serta melindungi kawasan hutan.
Bagaimanapun, dalam masa sama, mereka turut melahirkan rasa kecewa apabila Belanjawan 2021 langsung tidak menyentuh mengenai usaha mendepani kesan akibat perubahan cuaca.
“Apatah lagi dalam keadaan di mana kita ketika ini berdepan dengan kesan perubahan cuaca akibat peningkatan suhu dan taburan hujan yang semakin tinggi serta banyak lagi.
“Kami sebenarnya berharap lebih banyak usaha dan peruntukan diberikan dalam menangani cabaran ini,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Dalam masa sama, mereka turut melahirkan rasa kecewa apabila Belanjawan 2021 menyediakan peruntukan dalam bentuk dana bagi membangunkan ladang hutan.
Ujar mereka, ladang hutan bukan hutan semula jadi dan konsep pembangunan sebegitu sebelum ini telah memberi kesan kepada kelestarian alam sekitar. – UTUSAN ONLINE
-habis-