TANGKAK : Empat warga Myanmar ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kejadian tetak melibatkan lelaki senegara mereka Isnin lalu di sebuah kebun pisang di Grisek di sini.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd. Fadhil Minhat berkata, suspek melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita yang berusia 20 hingga 40 tahun itu berjaya ditahan kurang 24 jam di sebuah kebun berhampiran lokasi kejadian.
“Pada pukul 4.15 pagi hari kejadian, kita menerima laporan daripada anggota polis bertugas Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar mengenai kejadian mangsa warga asing yang dikejarkan ke unit kecemasan akibat parah di bahagian muka dan kepala.
“Berdasarkan pemeriksaan, pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan parah di muka dan kepala akibat tetakan senjata tajam sehingga menyebabkan pendarahan di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mohd. Fadhil, bertindak atas laporan, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tangkak berjaya membuat tangkapan terhadap empat suspek pada pukul 4.20 petang, Selasa lalu.
Beliau berkata, polis turut merampas sebilah sabit kecil dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan selain menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun kerana disyaki menggajikan pekerja warga asing tanpa permit.
“Kesemua suspek akan ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – UTUSAN ONLINE