Elak penularan Covid-19, SPR konsisten saran dua lagi PRK batal - Utusan Malaysia

Elak penularan Covid-19, SPR konsisten saran dua lagi PRK batal

ABDUL GHANI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunggu keputusan kerajaan sama ada ingin meneruskan pilihan raya kecil (PRK) Bugaya dan Gerik atau sebaliknya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, SPR setakat ini hanya mendapat pemakluman daripada Dewan Rakyat mengenai PRK Gerik, belum untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.

Bagaimanapun pihaknya konsisten menyarankan agar PRK tersebut dibatalkan berikutan penularan Covid-19 yang berbahaya.

“Kita setakat ini hanya me­nerima pemakluman mengenai PRK Gerik, Bugaya belum lagi. Tetapi saya tetap berharap agar PRK ini dibatalkan. Sebab kita bimbang keselamatan pengundi yang datang daripada pelbagai kawasan.

“Elok-elok Gerik ini zon hijau, berkemungkinan ada jangkitan yang berlaku di Parlimen tersebut. Kita di SPR meletakkan keutamaan kepada pengundi,” katanya.

Kelmarin, Dewan Rakyat mengemukakan kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Gerik kepada SPR berikutan kematiannya penyandangnya, Allahyarham Datuk Hasbullah Awang, Isnin lalu.

Yang Dipertua Dewan Rak­yat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataannya berkata, pemberitahuan kepada SPR itu dibuat selaras Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan.

Abdul Ghani berkata, pihak­nya akan mengadakan mesyua­rat khas minggu depan bagi meneliti setiap prosedur ketika PRK Gerik.

“Sebelum ini mungkin di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak berapa ketat prosedurnya, tetapi kali ini kita akan meneliti setiap perkara yang boleh dilakukan supaya Covid-19 tidak berjangkit ketika pilihan raya diadakan,” katanya.

MUHAMMAD SHAMSINOR ABDUL AZZIS

Sementara itu, penganalisis politik turut berpandangan kerajaan perlu mencari jalan supaya PRK tidak diadakan pada waktu ini meskipun Gerik adalah zon selamat, sementara DUN Bugaya merupakan kawasan berbahaya dengan pandemik Covid-19.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Muhammad Shamsinor Abdul Azzis berkata, peranan ahli Parlimen di kawasan tersebut boleh dijalankan pihak lain seperti kerajaan tempatan mahupun ADUN bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat.

“Macam mana sekalipun, PRK pada waktu sekarang ini perlu dielakkan. Tidak sesuai dengan budaya kempen walaupun dalam bentuk dalam talian, apatah lagi ingin turun berkempen seperti di Sabah.

Ini juga akan mendatangkan kesan buruk kepada kawasan setempat apabila pemimpin masyarakat turun berkempen dari Selangor, Kuala Lumpur, jangkitan Co­vid-19 boleh merebak.

“Namun pada masa yang sama, bantuan perlu dihulurkan kepada rakyat yang memerlukan. Jadi peranan ini boleh dipikul dalam masa dua tahun oleh ADUN mahupun wakil kerajaan tempatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN