Dua pemandu tahan sakit tersepit 45 minit - Utusan Malaysia

Dua pemandu tahan sakit tersepit 45 minit

ANGGOTA bomba mengeluarkan pemandu Proton Iswara yang tersepit selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Merlimau-Lipat Kajang, Jasin, Melaka pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Dua pemandu terpaksa menahan sakit kira-kira 45 minit apabila tersepit di tempat duduk dalam kenderaan masing-masing selepas terlibat kemalangan di Jalan Merlimau – Lipat Kajang, di sini, pagi tadi.

Kedua-dua pemandu lelaki yang masing-masing membawa Proton Wira dan Proton Iswara berusia 29 serta 49 tahun itu bagaimanapun berjaya diselamatkan sepasukan bomba dengan menggunakan pemotong hidraulik. 

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari, Pegawai Bomba Kanan II, K. Kalaiselvem berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 7.21 pagi dan seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kedua-dua pemandu telah tersepit di tempat duduk dan kami menggunakan pemotong hidraulik untuk memotong pintu kereta sebelum berjaya membawa keluar mangsa pertama iaitu pemandu Proton Wira.

“Selepas itu kami terpaksa menggunakan rantai yang ditarik jentera untuk mengalihkan Proton Wira bagi membolehkan kerja menyelamatkan mangsa kedua dapat dilakukan dari Proton Iswara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki serta tangan dan dikejarkan ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku ketika kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan dari arah sama iaitu Lipat Kajang menghala ke Muar, Johor. 

“Setiba di tempat kejadian, kereta Proton Wira tersebut tiba-tiba terbabas dan memasuki laluan kereta Proton Iswara yang ketika itu mahu ke Jasin. 

“Akibat kemalangan itu kedua-dua pemandu telah tersepit dan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan,” katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga membahayakan pemandu lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN