MELAKA: Catatan kes harian Covid-19 yang masih tinggi di Sabahmenggusarkan petugas kesihatan yang dihantar ke sana biarpun mereka sudah bersedia dari segi mental dan fizikal.
Namun, berbekalkan keazaman dan semangat untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara, kerisauan itu ditolak ke tepi demi membantu kerajaan mengawal penularan pandemik tersebut.
Seorang pegawai perubatan muda, Dr. Izzati Aina Hamizon, 27, yang pertama kali bertugas di kawasan dikategori ‘bencana’ berkata, dia dan rakan-rakan tidak menolak peluang itu selepas nama mereka tersenarai untuk dihantar bertugas di Sabah.
“Saya sudah bertekad apabila melangkah keluar dari Melaka untuk ke Sabah, saya memang berniat bahawa semua yang saya lakukan demi negara dan agama. Jadi apa-apa yang terjadi saya berserah.
“Ayah memang beri sokongan penuh apabila saya beritahu akan ke Sabah, tetapi emak walaupun dia nampak risau dia tetap kata mendoakan keselamatan saya sepanjang di sana,” kata doktor pergigian di Klinik Pergigian Selandar, Jasin di sini hari ini.
Dr. Izzati Aina ditemui ketika Majlis Pelepasan Pasukan Mobilisasi Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) ke Sabah oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melalui laman Facebooknya menyeru semua petugas barisan hadapan supaya sentiasa memasang niat sebelum memulakan tugasan harian dengan nawaitu berkhidmat kerana Allah SWT.
Kata Dr. Izzati Aina lagi, persediaan terhadap keadaan luar jangka juga amat penting kepada mereka sepanjang di Sabah yang mungkin memakan masa antara dua minggu hingga ke sebulan.
Sementara itu, Dr. Siti Fasihah Mohd. As’ari, 30, yang mengetuai kumpulan ketiga ke Sabah kali ini berkata, sepanjang lapan tahun menabur bakti di Klinik Kesihatan Peringgit, dia tidak pernah terfikir terlibat dalam misi seumpama itu.
Namun katanya, melihat pengorbanan barisan petugas hadapan yang sedia ada di negeri tersebut membuatnya terpanggil untuk turut serta membantu di sana.
“Insya-Allah niat kita kerana Allah SWT untuk menolong mereka yang memerlukan bantuan. Apabila dipanggil untuk beri bantuan, kita yang berupaya perlu tolong kepada yang tak berupaya” ujarnya.
Dalam pada itu, Rahmad berkata, seramai 55 petugas kesihatan negeri ini dihantar ke Sabah sejak 8 Oktober lalu bagi membantu barisan hadapan di sana menangani peningkatan kes Covid-19.
Ujar beliau, petugas yang dihantar terdiri daripada pelbagai kategori perjawatan termasuk pakar perubatan, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, jururawat dan pembantu kesihatan awam.
“Petugas-petugas ini membantu proses siasatan dan saringan di lapangan, merawat pesakit kes Covid-19 dan kes-kes lain di hospital serta melakukan pemeriksaan dan pengambilan sampel-sampel banduan di penjara serta aktiviti disinfeksi di tempat-tempat berisiko,” katanya. – UTUSAN ONLINE










