Covid-19 meningkat, rakyat Kelantan kembali patuh SOP - Utusan Malaysia

Covid-19 meningkat, rakyat Kelantan kembali patuh SOP

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tahap pematuhan rakyat negeri ini terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung Covid-19 yang sebelum ini didakwa rendah, kembali meningkat sejak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis negeri, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, dalam tempoh hampir seminggu PKPB dikuatkuasakan, pihaknya mendapati kesedaran masyarakat terhadap pematuhan SOP semakin tinggi.

“Kita harap orang ramai terus dan kekal menjaga SOP dengan memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman sekerap mungkin  bagi mengekang penularan Covid-19.

“Orang ramai yang tiada urusan penting dinasihatkan berada di rumah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Daerah Kota Bharu yang sebelum ini zon hijau, semalam diisytiharkan  zon merah selepas mencatatkan  46 kes aktif Covid-19 setakat 12 tengah hari semalam.

Kementerian Kesihatan mengumumkan ada  kluster terbaharu di Kelantan, iaitu Kluster Cengal menjadikan tiga kluster keseluruhannya dikesan di negeri ini. Dua lagi adalah Kluster Kube dan Kluster Mengketil.

Sementara itu, tinjauan mendapati lokasi tumpuan di  pusat bandar seperti Pasar Siti Khadijah lengang.

Orang ramai, terutama golongan lelaki tidak lagi dilihat melepak atau menghabiskan masa di kedai-kedai kopi. Ramai memilih membungkus makanan masing-masing.

Seorang peniaga keropok, Rosaidi Ismail, 35, berkata, sejak PKPB pelanggan semakin kurang  di Pasar Siti Khatijah.

“Sebelum PKPB pelanggan ramai datang membeli. Namun sejak kebelakangan ini Pasar Siti Khadijah suram terutama bahagian makanan kering dan pakaian.

“Bagaimanapun, bahagian jualan barangan basah seperti ikan, ayam, daging dan sayur-sayuran masih ada pelanggan tetapi tidak ramai berbanding sebelum ini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN