GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyeru pihak pengurusan kilang-kilang di negeri ini mengambil langkah pengawalan lebih ketat ke atas pergerakan pekerja kilang mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Industri Pembangunan Keusahawanan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, pengurusan juga perlu memperketat langkah-langkah keselamatan di premis kilang dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Langkah ini perlu memandangkan dalam tempoh dua minggu lalu, penularan pandemik Covid-19 telah berlaku dalam kalangan pekerja-pekerja beberapa buah kilang termasuk di Zon Perindustrian Bayan Lepas di sini, “ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Abdul Halim meminta pengurusan kilang di negeri ini mengawal pergerakan pekerja mereka bukan hanya di dalam premis tetapi di luar kilang terutama di asrama pekerja dan bukan asrama.
Tambahnya, pengurusan kilang juga perlu memantau dan mewujudkan mekanisma ‘tracing’ jika perlu di mana pekerja-pekerja tinggal supaya rangkaian penularan wabak Covid-19 dapat diputuskan.
“Saya juga berharap pengurusan kilang menggalakkan pekerja-pekerja mereka bekerja dari rumah,” katanya.
Pulau Pinang setakat ini merekodkan sebanyak 271 kes aktif positif Covid-19 dengan kes baharu dilaporkan semalam sebanyak 33 melibatkan kesemua lima daerah negeri ini.
Dalam pada itu, Abdul Halim meminta pengurusan kilang menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah dan Jawatankuasa Tindakan Daerah Pejabat Tanah dan Daerah untuk makluman serta bantuan sekiranya perlu. – UTUSAN ONLINE