Calon SPM, STPM patut dibenar ke sekolah - Utusan Malaysia

Calon SPM, STPM patut dibenar ke sekolah

RAMAI berpendapat kerajaan wajar menangguhkan sesi persekolahan 2021 berikutan peningkatan kes Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kementerian Pendidikan dicadangkan membenarkan sesi persekolahan bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang akan menduduki peperiksaan tahun depan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arau, Khalid Ahmad memberi cadangan tersebut kerana bimbang dengan masalah pelajar di kelas-kelas bawah serta kawasan luar bandar.

Menurut beliau, sesebuah kelas biasanya hanya sekitar 20 atau 25 orang dan perkara itu tiada masalah untuk mereka mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Belajar bersemuka lebih berkesan berbanding belajar secara dalam talian kerana tidak semua pelajar mempunyai kemudahan itu dan ada yang kurang pandai dan tidak minat,” katanya yang juga bekas Ahli Dewan Negara kepada Utusan Malaysia semalam.

Di kampung-kampung kata beliau, masalah capaian internet cukup lemah yang menyukarkan proses pembelajaran.

“Ini dibimbangi peratusan kemasukan ke universiti merosot selepas banyak kali sekolah ditutup tahun ini.

“Kita faham langkah kementerian bagi mengelak penularan Covid-19, namun tidak salah beri kelonggaran buka sekolah khususnya untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan,” katanya.

Tambah Khalid, pembelajaran secara dalam talian boleh dilakukan namun tiada kemudahan untuk pelajar di luar bandar.

“Setengah kawasan ada capaian internet tetapi kemudahan seperti telefon bimbit atau komputer riba pula tidak ada. Semua kekangan ini secara tidak langsung menjejaskan persediaan pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid mencadangkan agar proses pembelajaran ini turut dilakukan di dewan orang ramai di kampung-kampung bagi membantu pelajar di kawasan terbabit.

“Setiap guru boleh bergilir mengajar pelajar yang dikenal pasti di kampung-kampung ini. Pembelajaran secara bersemuka akan lebih membantu para pelajar ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya