Bersatu lapor polis artikel didakwa fitnah PM - Utusan Malaysia

Bersatu lapor polis artikel didakwa fitnah PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Balik Pulau membuat laporan polis terhadap sebuah portal berita kerana didakwa menyiarkan laporan berunsur fitnah terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Laporan polis berkenaan dibuat Ketua Penerangan Bersatu Balik Pulau, Mohd. Nazmin Ramlee di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Balik Pulau bersama-sama Ketua Bahagian Bersatu Balik Pulau, Zolkifli Md. Lazim dan ahli-ahli Bersatu bahagian berkenaan.

Mohd. Nazmin berkata, di dalam artikel bertajuk ‘Saman Agong satu tragedi’ yang disiarkan 7 November lalu, penulis yang menggunakan nama Rayusa menyatakan Syed Iskandar ialah orang Muhyiddin sendiri.

Malah, katanya, penulis berkenaan menyatakan; ‘jadi, jika pihak beliau sendiri, tentulah tindakan peguam itu kelihatan seperti direstui dan memang digalakkan/dilindungi.’

“Saya percaya kenyataan tersebut adalah tidak benar dan saya juga percaya kenyataan ini bertujuan mengaibkan Perdana Menteri serta Bersatu.

“Artikel ini juga seolah-olah mahu memfitnah serta menjatuhkan maruah Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui di pekarangan IPD Balik Pulau di sini hari ini.

Sebelum ini, seorang peguam dilaporkan memfailkan tindakan undang-undang berhubung keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk tidak menerima cadangan Perdana Menteri untuk pengisytiharan darurat.

Plaintif Syed Iskandar Syed Jaafar, melalui firma guaman Tetuan Kengadharan & Co, memfailkan Saman Pemula di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Oktober lalu.

Kerajaan Malaysia disenaraikan sebagai defendan tunggal dalam tindakan undang-undang itu.

Menurut Mohd. Nazmin, pihaknya percaya penyiaran artikel berkenaan adalahh kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan juga Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Oleh itu, kami memohon polis menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya ke atas portal serta penulis artikel ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan A A Anbalagan mengesahkan menerima laporan berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN