PUTRAJAYA: Semua ahli politik di pihak kerajaan atau pun pembangkang digesa berhenti bermain politik demi kesejahteraan rakyat yang sedang berhempas pulas meneruskan kehidupan akibat Covid-19.
Pengerusi Delegasi Anak Muda Ambil Inisiatif (Suara DAMAI), Mohd. Redzuan Mohamed Yusof berkata, rakyat sekarang sudah muak dengan permainan politik yang dilakukan semua parti politik tidak kira kerajaan ataupun pembangkang yang dilihat menyukarkan lagi kehidupan rakyat.
Beliau berkata, seharusnya semua ahli politik membantu kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terutama yang terkesan dengan Covid-19 yang menyebabkan ramai yang mengalami kesukaran untuk meneruskan kehidupan.
“Sudah-sudahlah berpolitik, kita sekarang perlukan semua bekerjasama lawan wabak ini. Kita tidak mahu pemimpin tidak kira kerajaan atau pembangkang yang menjadikan Covid-19 sebagai tawanan politik atau mempergunakan Belanjawan 2021 untuk meraihkan populariti untuk kepentingan politik masing-masing.
“Rakyat sudah banyak berkorban sejak awal tahun bagi melawan Covid-19 hinggakan kita beberapa kali berjaya mendapat sifar kes positif tetapi pengorbanan rakyat ‘dibakul sampahkan’ ahli politik hingga beberapa hari ini, Malaysia mencatatkan lebih 1,000 kes positif sehari,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Perdana Menteri di sini hari ini.
Memorandum terbabit diserahkan sendiri kepada Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Saiful Adli Mohd. Arshad yang meluangkan masa 15 minit bertemu dan mendengar hasrat 104 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai isu semasa yang melanda rakyat.
Mohd Redzuan berkata, pihaknya melahirkan kebimbangan sekiranya Belanjawan 2021 ditolak yang akan menyebabkan negara akan lumpuh kerana ketiadaan peruntukan untuk menggerakkan jentera kerajaan terutama menangani Covid-19.
Katanya, apabila Belanjawan 2021 yang akan diumumkan esok maka Pilihan Raya Umum (PRU) perlu dilakukan dan sudah pastinya ia akan memberi kesan yang negatif kepada rakyat.
“Bayangkan hanya satu pilihan raya, sekarang lebih 1,000 kes positif sehari dan jika buat PRU, pastinya situasi akan lebih teruk.
“Semua ahli politik bukalah mata, ramai rakyat hilang kerja, gaji dipotong malah ramai yang tiada duit, ramai yang tiada duit untuk makan.
“Apa lagi ahli politik mahukan bagilah rakyat bernafas. Bagi kami hidup semula. Semua perlu bantuan dari anda iaitu ahli politik,” katanya. -UTUSAN ONLINE