Belanjawan 2021 penuh nilai kemanusiaan - PKPB - Utusan Malaysia

Belanjawan 2021 penuh nilai kemanusiaan – PKPB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) menyifatkan insentif pada pembentangan Belanjawan 2021 membawa nilai kemanusiaan dalam situasi pandemik Covid-19 ketika ini.

Insentif itu antaranya melibatkan pengeluaran Akaun 1 Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP), pelanjutan Sistem Insurans Pekerjaan dan Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja).

Belanjawan 2021 turut menyalurkan insentif untuk Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Plus, peningkatan dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan memberi peluang kedua kepada golongan berisiko.

Setiausaha Agung PKPB, Mohammad Rizan Hassan berkata, pihaknya menyambut baik langkah kerajaan bagi menyalurkan keenam-enam insentif tersebut.

Katanya, walaupun pengeluaran KWSP itu bukan jaminan penyelesaian masalah, pengumuman berkenaan dianggap sudah cukup meringankan beban rakyat.

“Semua pencarum yang berkaitan perlu bijak menguruskan kewangan masing-masing kelak. Selain itu, KWSP harus tampil membimbing masyarakat mengenai pengurusan kewangan dan kesedaran bagi simpanan hari tua,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohammad Rizan berkata, pelanjutan Sistem Insurans Pekerjaan turut membantu golongan yang kehilangan pekerjaan sejak kebelakangan ini.

“Inisiatif jaringan keselamatan sosial ini dapat membantu mereka untuk mencari pekerjaan baharu. Isu terbesar adalah kesanggupan memulakan kerjaya baharu yang pendapatan mungkin tidak sama seperti sebelumnya dan kesedaran mereka perlu untuk terus bangkit daripada saat sukar ekoran pandemik Covid-19.

“Bagi SLDN Plus pula, ini memberi khabar gembira kepada golongan belia termasuk yang bakal memilih Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai pilihan kerjaya masa depan.

“SLDN memberi ruang sepenuhnya kepada industri untuk terlibat dalam memberikan latihan dan bukannya hanya bergantung kepada institusi latihan sedia ada semata-mata. Langkah ini menjimatkan perbelanjaan bahan guna habis latihan di institusi dan pelatih menerima faedah latihan tanpa perlu membuat pinjaman latihan kemahiran,” katanya.

Tambah beliau, PTPK perlu mewujudkan peluang pinjaman kepada latihan kemahiran jangka masa pendek dengan jaminan pekerjaan kepada belia.

“Minat belia terhadap kursus jangka masa panjang semakin tidak diminati dan majikan pula tidak sanggup menunggu lama bagi jaminan penempatan pekerjaan.

“Malah, potongan cukai pendapatan kepada majikan sehingga tahun taksiran 2025 juga disifatkan sebagai peluang kedua kepada bekas banduan dan penagih dadah untuk diintegrasikan ke dalam masyarakat melalui pekerjaan.

“Majikan perlu merebut peluang ini kerana golongan berkenaan mempunyai kemahiran tertentu ketika berada dalam institusi koreksional sama ada penjara atau pusat pemulihan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya