Bekalan musim tengkujuh mencukupi - Utusan Malaysia

Bekalan musim tengkujuh mencukupi

ROSOL Wahid (dua dari kanan) memeriksa harga ayam di Mydin Mall di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kerajaan memberi jaminan bekalan barang keperluan mencukupi dan mampu menampung permintaan semasa musim tengkujuh.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya sudah melantik peruncit dan pemborong di setiap daerah di samping membenarkan tambahan bekalan sebanyak 30 peratus berbanding stok sedia ada.

Katanya, di Terengganu misalnya, seramai 160 peruncit dan 74 pemborong dipilih bagi tujuan itu.

“Ini persediaan kita untuk musim tengkujuh, kalau kebiasaan mereka menyimpan 80 peratus bekalan tetapi kita tambahkan lagi 30 peratus.

“Kita jamin bekalan barangan keperluan tidak terputus malah kita mempunyai hubungan baik dengan Kementerian Pertanian dan agensi lain,” katanya selepas meninjau pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali di Mydin Mall di Gong Badak, di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia.

Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, sebanyak 26 kes peniaga didapati tidak mematuhi peraturan SHMMP Deepavali dalam tempoh lima hari pelaksanaan skim kawalan itu sejak 9 November lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, 24 kes membabitkan kegagalan memaparkan tanda harga manakala dua lagi menjual barangan melebihi harga kawalan ditetapkan.

Menurutnya, sepanjang tempoh SHMMP Deepavali sehingga 17 November ini, sebanyak 20 jenis barangan keperluan popular ditetapkan harga maksimum termasuk timun dan kacang panjang.

“Tindakan peniaga ini mengecewakan kita dan keseluruhan kes tersebut membabitkan rampasan dan kompaun bernilai RM5,847,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN