Azmin Ali pembohong! - Sallehuddin Amiruddin - Utusan Malaysia

Azmin Ali pembohong! – Sallehuddin Amiruddin

SALLEHUDDIN AMIRUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Azmin pembohong besar!

Itu pandangan Jawatankuasa Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Sallehuddin Amiruddin yang menyelar kenyataan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung penubuhan gabungan politik itu tercetus daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sallehuddin berkata, di kemuncak penubuhan PN, ketika itu beliau berada di Hotel Sheraton dan dimaklumkan bahawa Akuan Bersumpah (SD) yang dikumpul adalah tanpa pengetahuan Dr. Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Menurutnya, pada masa itu terdapat dua individu yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri iaitu Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, dakwanya, Dr. Mahathir menolak cadangan tersebut kerana tidak mahu bekerjasama dengan UMNO sedangkan Muhyiddin pula sebaliknya.

“Amat dangkal dan tidak masuk akal Mohamed Azmin kata idea penubuhan PN untuk Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri sedangkan dialah (Azmin) yang bercita-cita besar mahu jadi Perdana Menteri.

“Ini terbukti apabila krisis Menteri Besar Selangor pada 2014, beliau sendiri menghantar namanya sebagai calon Menteri Besar Selangor melalui ‘pintu belakang.

“Sekali lagi beliau terbukti menghantar namanya sebagai Menteri Besar Selangor sejurus selepas selepas Pakatan Harapan (PH) diisytihar menang di Selangor tanpa berunding dengan komponen PH Negeri.

“Malah, melalui ‘pintu belakang’ Mohamed Azmin meminta Dr. Mahathir melantiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri PH,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin dilaporkan mendakwa idea penubuhan PN datang daripada Dr. Mahathir yang disokong oleh semua anggota Parlimen dari kedua-dua belah pihak.

Kata Mohamed Azmin, sebelum Mahathir meletakkan jawatan secara mengejut pada 23 Februari lalu, satu SD merangkumi 131 sokongan anggota parlimen daripada pelbagai parti disampaikan ke Istana Negara yang menamakan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Sallehuddin berkata, alasan sebenar Dr. Mahathir menolak kerana jawatan Timbalan Perdana Menteri telah dijanjikan kepada Ahli Parlimen Pandan, Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Antara lain, beliau mendakwa, kenyataan Mohamed Azmin hanya berniat jahat sebagai usaha untuk menghalang Muhyiddin melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Mohamed Azmin ahli politik yang penuh nafsu serakah untuk berkuasa. Jika Dr. Mahathir ketepikan prinsip dan maruahnya, beliau sudah menjadi Perdana Menteri sehingga ke hari ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya