888 kawasan pulih bekalan air - Utusan Malaysia

888 kawasan pulih bekalan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekalan air di 888 daripada 1,279 kawasan atau 69 peratus terjejas susulan gangguan bekalan air tidak berjadual pulih sepenuhnya sehingga pukul 6 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam kenyataannya berkata, wilayah Kuala Selangor pulih bekalan air sebanyak 99 peratus diikuti Hulu Selangor (87 peratus) dan Kuala Langat (80 peratus).

“Bagi wilayah Kuala Lumpur pula pulih 75 peratus, Petaling (60 peratus), Gombak (55 peratus) dan Klang/Shah Alam (51 peratus).

“Hanya 391 kawasan di wilayah terjejas masih dalam proses pemulihan,” katanya.

Tambah Air Selangor, bagi kawasan yang belum menerima air, pihaknya masih memberi bantuan bekalan air di pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) di beberapa lokasi terpilih.

“Pengguna disaran membiarkan air pili mengalir jernih dan Air Selangor akan memaklumkan status pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua medium rasmi kami,” ujarnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira enam juta pengguna terjejas ekoran gangguan bekalan air berlaku sejak petang semalam.

Gangguan bekalan air berlaku berikutan terdapat pencemaran bau seakan-akan pelarut dikesan di Sungai Selangor sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Rantau Panjang, Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 ditutup.

Susulan pencemaran itu, empat individu termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya yang mana kesemua mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN