BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri menyita sebanyak tujuh buah kontena mengandungi lebih 191 tan susu tepung yang cuba dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah.
Produk dari Ireland dan Belanda bernilai hampir RM2 juta itu dirampas ketika pemeriksaan rutin Maqis negeri di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini kira-kira pukul 5.45 petang kelmarin.
Pengarah Maqis negeri, Zarina Ramli berkata, kontena itu disita bagi siasatan lanjut kerana didapati tidak mematuhi syarat permit import Maqis.
“Barang dagangan sebanyak 7,660 paket dengan berat keseluruhan kira-kira 191,500 kilogram itu dianggarkan bernilai RM1,995,662.60,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]. – UTUSAN ONLINE