KUALA LUMPUR: Kira-kira 68,000 pekerja pusat beli-belah di seluruh negara diramal hilang kerja sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terus dilanjutkan.
Sejak pandemik Covid-19, jualan di pusat-pusat perniagaan yang beroperasi di dalam kompleks di seluruh negara hanya mencatatkan perolehan sekitar 20 hingga 30 peratus berbanding kebiasaan sebelum ancaman pandemik.
Lebih parah, pendapatan peniaga di kawasan terlibat PKPB terus merosot kepada 10 hingga 15 peratus sejak negara berdepan gelombang ketiga bermula Oktober lalu.
Penurunan drastik jualan kerana kekurangan pengunjung selain semakin ramai rakyat hidup sukar kesan Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Tan Sri Teo Chiang Kok berkata, dalam tempoh enam bulan akan datang, banyak pusat beli-belah berkemungkinan terpaksa ditutup kerana impak pelaksanaan PKPB yang berjalan sekarang.
“Kesan PKPB kali kedua jauh lebih besar berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.
“Ketika PKP dahulu, majoriti peniaga masih ada simpanan untuk menyokong kelangsungan perniagaan manakala masyarakat pula ada lebihan tunai kerana pemberian moratorium automatik enam bulan,” kata beliau ketika dihubungi baru-baru ini.
Menurut beliau, ramalan tersebut semakin terbukti melalui penutupan operasi jenama-jenama besar seperti Robinsons Dept. Store, pawagam, beberapa rangkaian francais serta jenama F&B (makanan dan minuman) tempatan.
“Dengan kemerosotan ekonomi yang berpanjangan dan ketidakpastian yang berterusan, ia meninggalkan kesan negatif terhadap pendapatan isi rumah, kuasa beli dan mata pencarian.
“Di kawasan PKPB, pengunjung terpaksa berhati-hati tidak keluar untuk beli-belah kerana risau didenda berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak jelas.
“Kami berasakan bahawa kesan negatif PKPB sebenarnya jauh lebih buruk daripada bulan Mac lalu,” kata beliau.
Justeru, kata Chiang Kok, PPK `merayu’ agar kerajaan mempertimbangkan pemberian semula moratorium secara automatik terutamanya kepada pinjaman perniagaan bagi meningkatkan aliran tunai.
Jelas beliau, pemberian rebat elektrik kepada kompleks beli-belah juga boleh membantu industri berkenaan kerana sebahagian daripada kos operasi yang besar.
“Sebarang bantuan untuk meningkatkan dan mengekalkan aliran tunai sangat penting untuk kelangsungan operasi kami.
“Berapa lama kompleks beli-belah akan terus beroperasi, ia bergantung kepada bantuan kerajaan untuk membantu industri,” jelasnya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pusat beli-belah besar di ibu negara seperti Suria KLCC, Pavilion, EKoCheras Mall dan Velocity sangat berbeza berbanding sebelum Mac lalu apabila kebanyakan premis yang beroperasi hampir tiada pelanggan.
Kekurangan pengunjung bukan sahaja berlaku di kedai-kedai menjual pakaian, kasut, kosmetik malah di restoran-restoran.
Seorang pengunjung wanita enggan dikenali berkata, dia agak terkejut apabila pusat beli-belah kegemarannya di Velocity hampir tiada pengunjung sebelum terasa `janggal’ untuk berada di premis tersebut.
“Saya sudah lama tidak pergi ke Velocity kerana akur dengan PKPB. Jumaat lalu saya singgah di pusat beli-belah tersebut dan terkejut dengan ketiadaan pelanggan,” jelas gadis itu.
Sementara itu, seorang lagi wanita mahu dikenali sebagai Issabel berkata, situasi sepi di pusat beli-belah sudah dijangka ekoran banyak aktiviti disekat bagi mengekang Covid-19.
“Contoh menjelang Deepavali, bukan sahaja kami tidak berani keluar beli-belah kerana PKPB tetapi saya sendiri dan mungkin ramai lagi ada masalah kewangan kerana hilang kerja dan ada juga kena potong gaji jadi bagaimana untuk beli-belah,” katanya. – UTUSAN











