KUALA SELANGOR: Seramai 56 individu melibatkan 16 keluarga lagi dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PSS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Maharajalela, hari ini susulan berlakunya limpahan air.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor, Ismail Zakariya berkata, jumlah keseluruhan mangsa yang ditempatkan di PSS tersebut adalah 68 orang daripada 19 keluarga sehingga pukul 12.40 tengah hari tadi.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 38 mangsa adalah lelaki yang mana pemindahan melibatkan bayi dan kanak-kanak (20 orang), dewasa (44 orang) dan warga emas (empat orang).
“Daripada jumlah 68 mangsa, dua daripadanya adalah orang kurang upaya (OKU),” ujarnya di sini hari ini.
Tambahnya, kesemua mangsa yang dipindahkan adalah dari Jalan Rezab Derahman.
“Mereka dipindahkan selepas pihak berkuasa mendapati limpahan air di kawasan kediaman terus berlaku dan kita bimbang ia merisikokan mangsa.
“Setakat ini, laluan masuk ke rumah penduduk masih boleh dilalui. Pemantauan secara kerap dilakukan pihak berkuasa di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan penduduk yang lain,” ujarnya.
Terdahulu, dua PSS beroperasi masing-masing di Dewan Seri Sekinchan dan SK Datuk Maharajalela.
Bagaimanapun pada Jumaat lalu, PSS Dewan Seri Sekinchan ditutup selepas 20 mangsa dibenarkan pulang.
Dalam pada itu, Ismail berkata, pihaknya melakukan proses sanitasi di PSS tersebut bagi mencegah penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir.
Jelasnya, kerja-kerja sanitasi itu dilakukan selama empat jam bermula pukul 9 pagi dan petugas menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) semasa membuat semburan serta menggunakan bancuhan bahan kimia jenis sodium dan dettol bertujuan untuk mengawal penularan pandemik Covid-19.
“Proses tersebut melibatkan empat anggota dan pegawai bomba dari BBP Kuala Selangor,” katanya. – UTUSAN ONLINE