SUNGAI PETANI: Sebanyak 32 kompaun dikeluarkan terhadap peniaga dan pemilik restoran kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu di Pekan Lama Jalan Kuala Ketil, di sini malam semalam.
Penolong Pegawai Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Roslin Bakar berkata, kompaun dikeluarkan terhadap tujuh premis makanan dan 17 pemilik gerai makanan kerana ada dalam kalangan peniaga itu tidak mempunyai lesen berniaga di kawasan tersebut.
Katanya, antara kesalahan itu adalah tidak memiliki lesen perniagaan dan lesen iklan.
“Kesalahan yang dikesan itu melibatkan undang-undang kecil pelesenan, penjaja dan gerai MPSP 2009, undang-undang kecil makanan MPSP 1995 serta Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133),” katanya di sini hari ini.
Operasi bersepadu itu melibatkan MPSP dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda.
Beliau berkata, operasi melibatkan kira-kira 20 anggota penguat kuasa dan pegawai daripada kedua-dua agensi itu bermula dari pukul 5 petang hingga 7 malam.
Jelasnya, operasi berkenaan diadakan berikutan masih ramai peniaga di daerah ini yang gagal mematuhi undang-undang ditetapkan.
“Operasi tersebut diteruskan selepas ini bagi memastikan setiap peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk mengelakkan dikenakan tindakan,” katanya. – – UTUSAN ONLINE











