KUALA LUMPUR: Program Jana Graduan Hijau (Jaguh) yang dilancarkan tahun depan akan melibatkan 100 graduan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi sebagai perintis.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, program tersebut dijangka mampu memberi peluang kepada graduan menceburi bidang keusahawanan kelestarian hijau.
Katanya, program tersebut kini dalam proses pembangunan modul, pencarian rakan strategik dan permohonan dana kerajaan dan swasta sebelum di promosi secara aktif awal tahun 2021.
“Kumpulan pertama program ini melibatkan tiga aliran iaitu Jaguh Pengurusan Tenaga, Jaguh Produk Hijau dan Jaguh Pertanian Bandar.
“Sebanyak 100 graduan terlibat dalam program ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang ingin tahu perkembangan dan mekanisme program Jaguh dan universiti yang terlibat dengan program berkenaan.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, buat permulaan, program itu menyasarkan graduan yang enam bulan tamat belajar tetapi masih menganggur dan graduan yang bekerja tetapi tidak sesuai dengan kelulusan mereka.
Katanya, program itu kini dalam fasa mengenal pasti universiti sesuai yang terlibat dan setakat ini perbincangan dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dijalankan tetapi perlu ditangguh kerana penularan Covid-19. – UTUSAN ONLINE