Warga emas didakwa amang seksual fizikal cucu jiran - Utusan Malaysia

Warga emas didakwa amang seksual fizikal cucu jiran

MOHD. Halil Sairun diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu jirannya dan ugutan di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu jirannya dan melakukan ugutan mencederakan, dua minggu lalu.

Mohd. Halil Sairun, 72, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun lima bulan antara pukul 11.30 pagi hingga 2.30 petang di sebuah rumah di Bukit Darat, Tanjong Kling pada 13 Oktober lalu.

Bagi tindakan itu, warga emas berkenaan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah dengan mengugut secara lisan ke atas nenek saudara mangsa kira-kira pukul 12 tengah hari di lokasi sama, 7 Oktober lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan, kanak-kanak tersebut dijaga oleh nenek saudaranya yang tinggal berjiran dengan warga emas berkenaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon mahkamah meletakkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Peguam Azrul Zulkifli Stork dan Haslinda Abu Bakar yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan bagi kedua-dua pertuduhan dan meminta keluarga mangsa agar tidak membenarkan kanak-kanak itu berada berdekatan tertuduh, selain mengambil kira faktor usia anak guamnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh tidak mendekati mangsa dan perkara sama kepada keluarga kanak-kanak itu.

Mahkamah menetapkan 18 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh kemudian membayar jaminan tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya