Wanita seawal 20 tahun disaran melakukan pemeriksaan payudara - Utusan Malaysia

Wanita seawal 20 tahun disaran melakukan pemeriksaan payudara

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan majlis promosi Bulan Kesedaran Barah Payudara Peringkat MAIPs bagi Zon Arau di pekarangan Klinik Kesihatan Kuala Sanglang, Arau, Perlis, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Wanita seawal usia 20 tahun disaran memantau kesihatan diri secara berterusan dan mempelajari teknik pemeriksaan payudara supaya boleh melakukannya sendiri di rumah.

Pegawai perubatan Klinik Kesihatan Kuala Sanglang, Dr. Nurhafizah Shamsudin berkata, langkah itu bagi membolehkan mereka mengesan keadaan luar biasa pada payudara masing-masing kerana kanser boleh dikesan dengan melakukan saringan awal.

Katanya, pengesanan awal kanser payudara penting supaya rawatan dapat dilakukan lebih awal sebelum barah tersebut menjadi lebih teruk.

“Selain itu, peluang untuk sembuh sepenuhnya adalah lebih baik apabila kanser payudara dikesan pada tahap awal.

“Kanser payudara tidak hanya memberi kesan kepada pesakit tetapi kepada pasangan, anak-anak dan ahli keluarga lain yang turut merasai tempias penderitaan mereka,” katanya pada majlis promosi Bulan Kesedaran Barah Payudara Peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi Zon Arau di Klinik Kesihatan Kuala Sanglang di sini hari ini

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda ke program sempena kempen Rakyat Perlis Hidup Sihat dan Bersih itu disambut oleh Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Sirajuddin Hashim.

Sementara itu, Sirajuddin memberitahu, Oktober adalah bulan kesedaran barah payudara yang disambut setiap tahun bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang ramai selain mendidik serta menyokong mereka yang menghidap penyakit tersebut.

Untuk rekod, dari laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016, secara keseluruhan tiga jenis kanser paling kerap berlaku di negara ini iaitu payudara (19 peratus), kolorektal (13.5 peratus) dan kanser paru-paru (9.8 peratus). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya