KUALA LUMPUR – Masyarakat digalak menonton filem Memoir Seorang Guru kerana ia sarat dengan mesej positif terhadap pendidik.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, karya yang diadaptasi daripada nukilan Allahyarham Azizi Abdullah sangat dekat di hati masyarakat.
“Karya agung ini benar-benar diangkat dengan baik dari segi penjiwaan, pemilihan karakter dan setiap adegan yang dilakonkan berjaya meruntun hati penonton,” katanya selepas selepas pra tayangan filem terbabit.
Filem itu diadaptasi daripada hasil karya novelis agung Allahyarham Azizi Abdullah dan bakal ditayangkan di pawagam mulai 30 Mei ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Wan Munadi Wan Mamat berkata, sekuel itu hasil kerjasama dengan Kalam Ariff Holdings Sdn. Bhd. (KAHSB) di bawah arahan pengarah Kyoll Hamzah.
“Perjuangan seorang guru umpama wira yang tidak didendang kerana mereka menggalas tanggungjawab mendidik anak bangsa sejak kecil hingga dewasa.
“Justeru peluang untuk mengetengahkan peranan guru dalam bentuk visual seperti penerbitan filem ini adalah bertepatan serta sesuai dengan usaha kami dalam mengeratkan hubungan warga pendidik dengan masyarakat masa kini,” jelasnya. – UTUSAN










