USIM lancar portal Jom Infaq - Utusan Malaysia

USIM lancar portal Jom Infaq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, dekat sini melalui Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM me­lancarkan portal pendanaan awam atau dikenali sebagai crowdfunding bagi memperkasakan program atau projek infaq dan wakaf di Malaysia melalui teknologi digital.

Dilancarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, portal Jom Infaq itu adalah hasil cetusan idea Naib Canselor USIM, Prof.

Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dan dibina oleh Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) USIM di bawah seliaan PWZ.

Sebagai projek berimpak tinggi USIM, portal Jom Infaq berkenaan menyediakan platform pendanaan awam bagi memudahkan masyarakat dan seluruh rakyat Malaysia menyumbang kepada projek-projek kebajikan USIM.

Ia bagi menjadikan USIM sebagai sebuah universiti berprestij dengan kemudahan-kemudahan pendidikan bertaraf dunia tanpa bergantung kepada dana kerajaan semata-mata.

Jom Infaq USIM yang dibina itu merupakan antara perintis kepada portal pendanaan awam milik universiti awam di negara ini.

Dalam pada itu, berhubung peranan PWZ, ia bukan hanya dilihat sebagai sebuah pusat tanggungjawab yang menjalankan rutin harian mengutip dan mengagih zakat, tetapi peranannya sangat besar dalam memastikan USIM terus cemerlang dalam bidang akademik, pembangunan sahsiah serta sebagai pusat rujukan kecemerlangan.

Melalui dana zakat, wakaf, infaq dan endowmen, PWZ mampu untuk menjadikan USIM setanding universiti-universiti terkemuka dunia yang rata-rata bergerak dengan dana sumbangan alumni dan orang awam demi kecemerlangan akademik anak bangsa.

PWZ kini agresif dalam menyediakan platform untuk masyarakat awam berinfaq dan berwakaf dengan projek-projek kebajikan USIM berimpak tinggi dan sederhana bagi menaiktaraf prasarana universiti untuk pembangunan pendidikan dan ummah sejagat.

Sementara itu, hari ini turut diadakan Hari Terbuka PWZ-BIMB dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bagi membuka peluang kepada kakitangan USIM melakukan amalan bersedekah melalui zakat, wakaf, infak dan endowmen di kaunter PWZ yang dibuka.

BIMB juga membuka kaun­ter untuk memberi peluang kepada kakitangan membuka akaun Al-Awfar dan menaja hadiah-hadiah cabutan bertuah kepada kakitangan USIM yang membuat sumbangan di kaunter PWZ sepanjang Hari Terbuka ini.

Rakan Strategik BIMB yang turut sama adalah Syarikat Takaful Malaysia, Transasia Property, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Primuncak Development, Putra Nilai Development dan Tabung Haji. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya