Temco di Asrama Tropicana, One Utama ditutup 7 hari - Utusan Malaysia

Temco di Asrama Tropicana, One Utama ditutup 7 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) di Asrama Tropicana berkuat kuasa esok sehingga 25 Oktober ini selepas terdapat kes positif Covid-19 melibatkan pekerja-pekerja Tropicana Corporation Berhad, Petaling Jaya, Selangor.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan penghuni asrama pekerja-pekerja syarikat tersebut berjumlah 500 orang.

Menurut beliau, pelaksanaan perintah tersebut bagi membendung jangkitan dan penularan wabak itu serta  membolehkan pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang  tempoh 14 hari.  

“Dengan pelaksanaan perintah ini semua penghuni dikehendaki  mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

“Walau bagaimanapun, pelaksanaan Temco ini tidak melibatkan kawasan Tropicana Golf Club & Country Resort,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), di sini semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu pusat beli-belah, One Utama di Bandar Utama akan ditutup sementara selama tujuh hari berikutan kewujudan kes positif Covid-19 melibatkan pekerja di pusat beli-belah itu.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan proses saringan kepada semua pihak yang terlibat dilakukan oleh Kementerian Kesihatan dan proses sanitasi dilaksanakan. 

Mengenai situasi penularan Covid-19 di Sabah, Ismail Sabri berkata, Pusat Kuarantin Transit Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) akan diwujudkan berdasarkan permohonan daripada MKN negeri itu bagi tujuan menempatkan PATI sebelum dimasukkan ke depot-depot tahanan.

Katanya, empat tempat akan dibuka sebagai pusat kuarantin tersebut iaitu Dewan Masyarakat Manggatal, Kota Kinabalu; Dewan Masyarakat Pekan Kinarut, Papar; Dewan Sibuga, Batu 5, Sandakan dan Dewan Sri Gum-Gum, Batu 16, Sandakan. 

Jelasnya, kesemua Tahanan PATI baharu akan menjalani saringan ujian pengesanan Covid-19 di pusat-pusat kuarantin itu selama tempoh 14 hari sebelum dilakukan ujian pengesanan kali kedua untuk dihantar ke depot-depot tahanan. 

Bagi menyokong keperluan menambah fasiliti perubatan di Sabah, kata beliau Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  telah bersetuju untuk mengaktifkan Hospital Medan ATM di Tawau bagi melaksanakan bantuan sokongan  untuk merawat kes-kes selain Covid-19.

Katanya, hospital berkenaan mempunyai 100 katil pelbagai wad dengan kekuatan  seramai  lapan Pegawai perubatan dan 54 lain-lain pangkat terdiri daripada  1 Komander, lima doktor pakar, tiga Pegawai Perubatan dan lain-lain kakitangan.  

“Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga akan melaksanakan penerbangan secara harian ke Sabah bagi membantu Kementerian Kesihatan dalam  urusan logistik termasuk membawa kakitangan perubatan serta  membawa sampel saringan ujian pengesanan ke makmal di Semenanjung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya