Tanam ketum hilang tanah - Utusan Malaysia

Tanam ketum hilang tanah

KETUA Polis Perlis, Datuk Surina Saad (dua dari kiri) melibat operasi menebang pokok ketum di Felda Mata Ayer, Padan Besar, Perlis.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Awas penanam ketum di tanah rancangan Felda. Anda mungkin kehilangan hak milik tanah atau dikenakan tindakan undang-undang jika memilih tanam ketum berban­ding getah dan kelapa sawit.

Amaran dikeluarkan Ketua Unit Pengurusan Isu dan Pewarisan Felda, Mohd. Yassin Mohd. Yusof ketika menyertai operasi bersepadu menebang pokok ketum di Felda Mata Ayer di sini semalam.

Menurut beliau, operasi pe­nebangan pokok ketum akan diperluaskan ke Felda negeri-negeri lain bagi mengurangkan masalah penyeludupan dan penyalahgunaan ketum.

“Kita ada 317 Felda dengan 2.5 juta peneroka dan waris di seluruh negara. Saya harap operasi ini dapat diteruskan ke ne­geri lain selepas ini bagi membasmi masalah berpunca ketum,” ujarnya.

Menurut beliau, peneroka yang menanam pokok yang mendatangkan mudarat kepada orang awam boleh dilucutkan hak milik atas tanah rancangan tersebut.

Katanya, mereka juga boleh dituduh di bawah Seksyen 11 (4), Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960.

“Walaupun peneroka mempunyai hak milik tanah di situ (Felda) tetapi boleh dilucutkan hak penempatan jika tanam pokok tidak mengikuti syarat.

“Jadi saya nasihatkan supaya mereka jangan melakukan perkara yang boleh merugikan diri sendiri dan keluarga,” tegas beliau.

Bagaimanapun, kata beliau, buat masa ini belum ada tindakan mahkamah yang diambil ke atas peneroka kerana pihaknya memberi nasihat terlebih dahulu.

Terdahulu dalam operasi d Felda Mata Air, Mohd. Yassin berkata, sebanyak 250 pokok ketum di tebang di Felda itu.

Operasi bersepadu tersebut disertai polis, Jabatan Tanah dan Galian dan Felda itu bermula kira-kira pukul 10 pagi.

Perlis dianggar mempunyai 200 orang menanam ketum di tiga Felda di negeri ini. Pasaran tempatan daun ketum RM30 sekilogram manakala pasaran Thailand RM100 di Thailand.

Mengikut data Agensi Antidadah Kebangsaan sebanyak 10.75 hektar tanah di negara ini ditanam ketum. Perlis dan Kedah didakwa paling ramai penanam pokok tersebut.

Ketum menjadi sumber pendapatan ramai penduduk di utara kerana laris diseludup ke Thailand.

Ladang ketum berkeluasan empat hektar didakwa mampu jana pendapatan RM200,000 sebulan dengan setiap pokok boleh menghasilkan tiga kilogram sekali tuai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN