STIAS Senawang catat 38 lagi kes positif Covid-19 - Utusan Malaysia

STIAS Senawang catat 38 lagi kes positif Covid-19

Sebahagian daripada 38 pelajar Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) Senawang yang telah disahkan positif Covid-19 dilihat membawa bersama barangan peribadi mereka sebelum menaiki sebuah bas Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan untuk dibawa ke pusat kuarantin.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) Senawang mencatatkan penambahan 38 lagi kes positif Covid-19 menjadikan sebanyak 99 kes positif secara keseluruhan di sekolah tersebut.

Pengerusi Pengelola STIAS Senawang, Abdullah Abdol Razak berkata, jumlah tersebut terdiri daripada 35 pelajar manakala tiga yang lain merupakan kakitangan.

“Hasil laporan pihak Kementerian Kesihatan kepada pihak sekolah mengesahkan, jumlah tersebut adalah terdiri daripada seramai 35 pelajar manakala tiga yang lain merupakan kakitangan. Bagaimanapun, kesemua yang positif tidak menunjukkan sebarang gejala kecuali tiga pelajar yang mengalami gejala.

“Kesemua pelajar yang positif telah pun dipindahkan oleh Kementerian Kesihatan ke pusat kuarantin kira-kira pukul 4.15 petang tadi manakala pelajar-pelajar yang masih menunggu keputusan saringan kekal ditempatkan di bilik kuarantin di asrama STIAS, Senawang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, sebanyak 27 kes baharu dicatatkan selepas 33 kes positif dicatatkan hari sebelumnya hasil ujian saringan yang telah dibuat seluruh warga kerja dan pelajar berikutan salah seorang daripada pelajarnya didapati positif Covid-19 sekali gus mewujudkan kluster baharu yang digelar Kluster Sofi.

Sementara itu, menurut Abdullah, pihak sekolah sentiasa memberi kerjasama dan mengikuti segala langkah-langkah yang disyorkan Kementerian Kesihatan sepanjang tempoh kuarantin dengan membuat pengasingan bagi pelajar-pelajar yang masih menunggu keputusan.

“Untuk itu, segala kemudahan para pelajar juga diasingkan termasuk asrama, bilik air dan tempat makan bagi mengelakkan jangkitan ini tersebar kepada mereka yang belum mendapat apa apa keputusan saringan.

“Kesemua pelajar yang menjalani kuarantin di asrama STIAS, Senawang kini berada dalam keadaan tenang dan terkawal, malah mereka masih meneruskan rutin harian khas mereka yang telah disusun oleh pihak sekolah iaitu solat berjemaah, meneruskan hafalan al Quran serta mengulang kaji pelajaran akademik di tempat masing-masing dengan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) penjarakan sosial,” katanya.

Difahamkan, masih terdapat 40 individu yang masih dikuarantin di sekolah iaitu terdiri daripada tujuh orang guru, 16 kakitangan dan 17 orang pelajar.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Pengerusi Kumpulan Pendidikan Muhammadiah (MUTIM), Datuk Muhammad Fuad Kamaludin mengarahkan kepada sesiapa yang mempunyai kontak rapat dengan mana-mana pelajar atau kakitangan bergelajala di STIAS, Senawang agar melakukan langkah pencegahan dengan membuat pemeriksaan doktor atau melakukan kuarantin kendiri di rumah serta merta. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya