Status PKPB di Lembah Klang bergantung kes positif - Utusan Malaysia

Status PKPB di Lembah Klang bergantung kes positif

Sekitar Masjid India, Jalan Tunku Abdul Rahman di ibu negara pada 24 Oktober 2020 yang lengang sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilaksanakan. - UTUSAN/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN)  melanjutkan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang jika kes positif Covid-19 terus meningkat.

 Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata,  bagaimanapun, pihaknya akan terus memantau perkembangan kes setiap hari untuk melihat data-data kes meningkat secara konsisten atau sebaliknya. 

“Kalau lihat data kes meningkat konsisten, kita akan cadangkan (sambung tempoh PKPB), tetapi kalau tiba-tiba tidak ada dalam tempoh seminggu dari sekarang, mungkin kita akan lihat semula sama ada perlu sambung atau tidak. Kita memantau setiap hari.

“Namun apa yang pasti  kes meningkat sekarang ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, peningkatan kes sehingga 1,228 kes semalam iaitu kali pertama mencecah empat angka  bersandarkan unjuran Nilai R Naught (R0) pada masa ini adalah pada kadar 1.5.

Katanya, pihaknya telah menjangka jika kadar itu tidak menurun, berkemungkinan ia boleh mencapai 1,300 kes  hujung bulan ini. 

“Kalau lihat unjuran KKM nilai R0 bermula 2.2, kita jangka lebih daripada 1,000 kes, tetapi saya telah terangkan pada masa ini berada pada 1.5, bererti pada 31 Oktober kita dah jangkakan boleh mencecah 1,300 kes.

“Namun, kita dapati kes pada hari ini adalah 434 kes datang dari Penjara Kepayan iaitu dalam kawasan tertutup. Peningkatan kes adalah dalam penjara bukan dalam komuniti. Jadi kita mahu pihak penjara melihat semula prosedur operasi standard (SOP) mereka,” katanya.

Noor Hisham berkata, tujuan kerajaan memutuskan pekerja peringkat pengurusan dan pengawasan sektor awam dan industri di kawasan PKPB dibenarkan untuk bekerja dari rumah supaya lebih ramai yang duduk di rumah.

Katanya, langkah ini sebagai menggurangkan pergerakan masyarakat dan mengurangkan kebolehjangkitan virus Covid-19 di dalam kawasan-kawasan PKPB. 

Dalam hal ini, katanya, kerajaan memohon semua majikan dan pekerja untuk mematuhi ketetapan itu  kerana ia akan membantu mengurangkan risiko penularan di kawasan tempat kerja.

“Arahan ini mahu memastikan setiap orang duduk di rumah dan bukannya mengambil kesempatan pergi bersiar-siar di pusat beli-belah dan sebagainya. Majikan boleh mengambil tindakan jika didapati ada kalangan pekerja berbuat demikian.

“Saya sendiri dalam tempoh kuarantin 14 hari, saya bekerja 14 jam sehari dari pukul 8 pagi, tidak ada masa untuk keluar sebab kita ada KPI (petunjuk prestasi utama) untuk menyiapkan tugasan yang ditentukan majikan bukan untuk duduk bersahaja,” katanya.- UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya