SOP Covid-19: Polis pantau pelajar pulang sekolah di Bentong - Utusan Malaysia

SOP Covid-19: Polis pantau pelajar pulang sekolah di Bentong

YUSOF Unis memantau SOP yang dilaksanakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Mun di Bentong, Pahang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Ketika dalam kawasan sekolah, pelbagai prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi pelajar tetapi sebaik sahaja keluar daripada pagar segalanya termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal diabaikan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Yusof Unis berkata, menyedari kebimbangan masyarakat terhadap isu berkenaan, polis melakukan pemantauan berkala di semua sekolah di daerah ini bagi memastikan pelajar dan murid mematuhi SOP di luar pagar sekolah.

“Setakat ini tidak ada aduan daripada mana-mana pihak termasuk ibu bapa. Polis terus melakukan pemantauan dan menasihati pelajar mengikut SOP ditetapkan.

“Saya juga meminta ibu bapa supaya menasihatkan anak-anak mereka mengikut SOP ditetapkan apabila pulang dari sekolah bagi mengelak dijangkiti pandemik Covid-19,” katanya selepas melakukan pemantauan di sekitar bandar Bentong, di sini hari ini.

Menurut Yusof, polis sentiasa bekerjasama dan menghubungi pentadbiran sekolah bagi memastikan SOP ditetapkan dapat dipatuhi secara berterusan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 39 kompaun dikeluarkan di daerah ini sejak 18 Mac lalu kerana kegagalan mematuhi SOP ditetapkan.

Katanya, kompaun itu turut membabitkan tujuh individu kerana mengadakan parti persendirian di Genting Highlands, dekat sini.

“Berdasarkan pemantauan, keadaan di Bentong adalah terkawal yang mana semua masyarakat mengikut SOP ditetapkan pihak berkuasa,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN