RM164 juta pertingkat usaha bendung Covid-19 di Sabah - Utusan Malaysia

RM164 juta pertingkat usaha bendung Covid-19 di Sabah

MUHYIDDIN Yassin meninjau sendiri persiapan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara TUDM Subang, untuk menerbangkan segera sebahagian peralatan bantuan menangani Covid-19 ke Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan telah memperuntukan RM164,680,133 untuk mempertingkatkan usaha membendung penularan jangkitan Covid-19 di Sabah bagi tempoh September dan Oktober tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM103,845,131 adalah daripada peruntukan mengurus dan telah digunakan untuk menyediakan keperluan seperti Kelengkapan Perlindungan Diri (PPE) dan Consumables; Reagen serta aset mudah alih, termasuk penyumberluaran makanan dan ubat-ubatan.

ADHAM BABA

Katanya, baki jumlah tersebut sebanyak RM60,835,002 adalah daripada peruntukan pembangunan dan digunakan oleh Jabatan Kesihatan Sabah untuk menambahbaik fasiliti kesihatan seperti makmal dan bilik ICU di hospital dan juga perolehan kenderaan serta peralatan perubatan.

“Awal hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meninjau sendiri persiapan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara TUDM Subang, untuk menerbangkan segera sebahagian peralatan berkenaan ke Sabah.

“Penerbangan pesawat TUDM pagi tadi turut membawa peralatan yang disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk NGO dan swasta.

“Komitmen tinggi kerajaan dalam membantu menangani wabak Covid-19 di Sabah dengan menyalurkan segera peruntukan ini sangat penting demi melindungi keselamatan rakyat.

“Justeru, kita berharap tindakan pantas kerajaan menangani Covid-19 di Sabah mendapat kerjasama dan sokongan semua pihak,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Kata Adham, kerjasama semua pihak amat dialu-alukan selaras dengan pendekatan whole of government approach dan whole of society approach, dan pihak kementerian yakin
pendekatan itu akan dapat memainkan peranan berkesan bagi terus menyekat penularan wabak ini secara bersepadu.

Katanya, pihak kementerian sentiasa menasihatkan semua pihak untuk mengamalkan norma baharu dan terus mematuhi garis panduan atau Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikuatkuasakan bagi memastikan rakyat sentiasa selamat dan terpelihara dari penularan wabak Covid-19 itu.

“Kerajaan dan seluruh warga kementerian akan terus berusaha dengan penuh dedikasi dan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab untuk membendung wabak COVID-19, sehingga Sabah kembali menjadi zon hijau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya