KUALA LUMPUR: Malaysia berada dalam ketidaktentuan semalam selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet di Kompleks Sri Perdana, Putrajaya yang mencetuskan spekulasi mengenai pengisytiharan darurat.
Spekulasi bahawa kerajaan mencadangkan perintah darurat dikuatkan lagi apabila Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang petang semalam.
Perdana Menteri tiba pada pukul 4.40 petang di istana itu.
Difahamkan Muhyiddin bersama menteri kabinet kanan mempersembahkan beberapa cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira dua jam itu.
Turut serta dalam pertemuan itu ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.
Peningkatan kes Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi serta politik menyebabkan banyak pihak membuat spekulasi kerajaan akan mengiystiharkan darurat kesihatan atau politik.
Sebelum mesyuarat khas Kabinet, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Spekulasi bahawa kerajaan akan mengumumkan darurat mencetuskan suasana tidak tenteram dalam kalangan rakyat terutanya di media sosial.
Namun sehingga malam tadi tiada pengumuman dibuat oleh kerajaan.
Difahamkan Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan mendapat perkenan Prorog Parlimen iaitu pemberhentian atau penggantungan persidangan Dewan Rakyat tanpa membubarkan Parlimen.
Muhyiddin dikatakan berhadapan undi tidak percaya menjelang pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November ini.
Semalam negara mencatat 10 kematian, angka kematian harian yang tertinggi sejak pandemik melanda negara.
Jika benar darurat diumumkan malam tadi, ia adalah darurat pertama selepas 51 tahun pelaksanaannya kerana tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Sementara itu, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Muhyiddin tidak layak menasihati Yang di-Pertuan Agong melaksanakan darurat kesihatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia kata beliau, Yang di-Pertuan Agong tidak akan mempertimbangkan nasihat daripada Perdana Menteri yang belum berjaya membuktikan sokongan majoriti ahli Parlimen kepadanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, tindakan Kabinet Perikatan Nasional (PN) yang didakwa mahu melaksanakan darurat kesihatan sebenarnya bukanlah bertujuan memulihkan keadaan semasa, sebaliknya ingin menutup kelemahan kerajaan sedia ada.
“Darurat ada macam-macam jenis, tetapi darurat politik ini kalau digunakan , Seri Paduka tidak perlu minta nasihat Perdana Menteri. Darurat yang lain seperti darurat kesihatan, ekonomi dan ketidaktenteraman memang kerajaan bertanggungjawab memberi nasihat dan kemudian Agong buat darurat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Sementara itu, pakar perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, hanya Yang di-Pertuan Agong boleh menentukan sama ada benar dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki sokongan cukup daripada anggota Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.
Katanya, ini dapat dilakukan dengan menerima menghadap Presiden PKR bagi mempersembahkan dakwaannya kepada Yang di-Pertuan Agong.
Menurut beliau, perkara itu menjadi kemestian supaya kenyataan Anwar dapat diteliti kebenarannya oleh Yang di-Pertuan Agong setelah pemimpin parti dalam Perikatan Nasional (PN) menyifatkan kenyataan Anwar sekadar dakwaan.
“Dalam situasi sekarang semuanya dalam tangan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan siapa betul iaitu sama ada Anwar atau Muhyiddin,” katanya.
Seorang lagi pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, pengisytiharan darurat sebaik-baiknya dilaksanakan selepas Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen atas nasihat Perdana Menteri.
Ia bagi mengelak tuntutan pada Sidang Dewan Rakyat yang masih boleh berlangsung untuk menguji sama ada Perdana Menteri masih mendapat kepercayaan majoriti.
Dalam masa sama dikhuatiri turut ada usul untuk membatalkan proklamasi darurat di bawah Perkara 150(3).
“Apabila pengisytiharan darurat dilakukan tanpa membubarkan Parlimen, sidang Dewan Rakyat masih boleh berjalan dan perkara-perkara tersebut boleh berlaku,” kata Wan Ahmad Fauzi.
Katanya, Kabinet masih boleh berfungsi dengan kuasa terhad sebagai ‘care taker’ atau interim di bawah Perkara 43(2) ketika pelaksanaan darurat. – UTUSAN









