PASIR MAS: Polis mengeluarkan sebanyak 35 kompaun kepada pemilik premis di negeri ini yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan (PKPP).
Ketua Polis negeri, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, tindakan itu memperlihat keseriusan agensi penguat kuasa berkenaan dalam memastikan pemilik premis mematuhi SOP dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19.
Beliau berkata, polis tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi SOP.
“Hasil pemeriksaan yang kita jalankan, kebanyakan pemilik premis gagal menyediakan cecair pembasmi kuman, alat pemeriksa suhu badan dan buku rekod kedatangan pelanggan..
“Ia sekali gus melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau pematuhan SOP di Pasar Tasek Raja, di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif dan Ketua Jajahan Pasir Mas, Nik Mohamed Nor Nik Ishak.
Shafien memberitahu, kepatuhan rakyat terhadap terhadap SOP di seluruh negeri ini berada pada tahap 95 peratus.
Katanya, jumlah itu memperlihat pemahanan dan pematuhan SOP semakin bertambah baik.
“Kita harap tahap ini terus kekal agar rantaian pandemik Covid-19 diputuskan,” ujarnya
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sepanjang tempoh Mac hingga semalam, sebanyak 986 kompuan dikeluarkan kepada mereka yang melanggar SOP.
Katanya, gagal memakai pelitup muka menjadi penyumpang tertinggi kepada kompaun tersebut. – UTUSAN ONLINE










