PLUS perjelas kekeliruan insiden Zara Zya - Utusan Malaysia

PLUS perjelas kekeliruan insiden Zara Zya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini menjelaskan kekeliruan insiden melibatkan seorang selebriti wanita, Zara Zya yang terkandas di Lebuh Raya Lembah Klang, baru-baru ini.

PLUS dalam satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan siasatan, insiden tersebut dilaporkan pada 12 Oktober lalu kira-kira pukul 4.34 petang apabila Pusat Kawalan Trafik (TMC) PLUS dihubungi seorang rakan pengadu yang memaklumkan tentangnya.

“Memandangkan informasi yang diberikan kurang jelas dan kemungkinan berlaku di lebuh raya kendalian syarikat lain, pegawai kami menasihatkan supaya beliau menghubungi Guthrie Corridor Expressway (GCE) sebelum pengadu menghubungi semula PLUS pada pukul 4.37 petang,” katanya.

Ahkbar baru-baru ini melaporkan, selebriti tersebut menyatakan rasa kecewa dengan pengurusan syarikat konsesi lebuh raya PLUS kerana gagal menghulurkan bantuan selepas tayar kenderaannya bocor akibat terlanggar besi di tengah laluan Lebuh Raya Lembah Klang (NKVE) di Shah Alam, Selangor.

Menurut kenyataan itu, pada masa yang sama, pasukan PLUSRonda yang berada berhampiran kawasan tersebut turut melihat kenderaan selebriti terbabit yang terkandas di lorong kecemasan dan berhenti di lokasi itu bagi memberikan bantuan kira-kira pukul 4.45 petang.

Katanya, hal itu disahkan setelah PLUS meneliti semula rakaman kamera yang dipasang pada kenderaan PLUSRonda serta rekod pergerakan pasukan menerusi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).

“Pasukan PLUSRonda juga dimaklumkan bahawa selebriti tersebut terlebih dahulu menghubungi syarikat tunda lain dan sedang menunggu ketibaannya,” katanya.

Tambah kenyataan itu, setelah PLUSRonda membuat pengesahan, mereka meletakkan kon keselamatan di belakang kenderaan selebriti terbabit sebagai langkah keselamatan dan bagi mengelakkannya lebih terdedah kepada risiko dilanggar oleh kenderaan lain sebelum beredar serta meneruskan rondaan di kawasan lebuh raya tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya