PKP, Covid-19 ah long pun `sesak nafas’ - Utusan Malaysia

PKP, Covid-19 ah long pun `sesak nafas’

Datuk Seri Michael Chong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu hingga kini terbukti meranapkan ekonomi bukan sahaja membabitkan individu dan syarikat besar tetapi juga syarikat pemberi pinjaman wang berlesen dan ceti haram atau ah long.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, selama ini kerajaan hanya fokus kepada ekonomi sah yang terjejas sebaliknya aktiviti jenayah seperti ah long turut menerima tempias.

Menurut beliau, kesimpulan tersebut berdasarkan kepada aduan keganasan membabitkan ah long yang menurun hampir 50 peratus atau 250 kes tahun ini berbanding 550 tahun lalu.

“Sejak Covid-19 dan pelaksanaan PKP, ah long pun `sesak nafas’ untuk cari pelanggan dan kutip hutang. Aktiviti kutip hutang yang kurang menyebabkan modal pusingan ah long merudum.

“Ah long pun manusia takut ancaman Covid-19 dan sekatan polis yang banyak membataskan pergerakan mereka,” katanya.

Selain itu, kata Michael, masalah ekonomi rakyat yang semakin ramai dibuang kerja atau gaji dikurangkan turut menjadi faktor permintaan pinjaman dengan ah long berkurang.

“Golongan yang terjejas sukar menyakinkan ah long untuk mendapatkan pinjaman jika mereka tiada sumber pendapatan.

“Ah long juga jenis yang berhati-hati, elak rugi dan tidak mahu ambil risiko jika pendapatan peminjam susah,” katanya.

Seorang lelaki berkerja dengan ah long di Puchong berkata, dia dalam kedudukan sukar kerana kerja kutip hutang semakin kurang ketika Covid-19.

“Dahulu saya tidak perlu tanya bila dan di mana harus pergi kutip hutang tetapi sekarang tanya pun belum tentu ada kerja.

“Ia sebab peminjam dengan a long kurang jadi kerja kutip hutang pun semakin kurang,” ceritanya yang memaklumkan `bunga’ atau kadar faedah dengan ah long memang mahal.

Katanya, orang hanya ingat ah long `jahat’ sebenarnya ramai juga peminjam lebih `jahat’ kerana selepas meminjam mereka enggan buat bayaran sehingga terpaksa diugut.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemberi Pinjam Wang Berlesen Punjabi Malaysia (MPLMA), Palwinder Singh berkata, bisnes pinjaman wang setiap peniaga turun 30 hingga 40 peratus dalam tempoh Covid-19.

“Rata-rata peniaga sebelum Covid-19 kumpul untung RM7,000 sehingga RM10,000 sebulan tetapi kini susut antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

“Itu pun bergantung kepada peminjam sama ada mereka bayar atau tidak pada bulan tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Palwinder, syarikat pinjaman kini bimbang dan perlu berhati-hati untuk memberikan pinjaman kerana ramai sedang bermasalah dengan wang.

“Permintaan (pinjaman) itu ada. Tapi kita takut nak bagi. Peminjam sektor kerajaan kami tidak bimbang kerana mereka ada pendapatan tetap. Tetapi bagi ahli perniagaan dan sektor swasta agak sukar kerana kita tidak tahu bagaimana dengan aliran tunai mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Palwinder berkata, ada syarikat yang hanya mengambil kutipan faedah semata-mata ketika tempoh PKP bagi membantu peminjam yang mengalami kesempitan wang. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN