KULIM: Seorang pemandu van disamun dan ditumbuk di muka oleh tiga lelaki ketika bertemu dengan kenalan wanitanya di hadapan sebuah restoran di Taman Selasih di sini awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, mangsa berusia 20 tahun kehilangan sebuah telefon bimbit dan mengalami bengkak di muka akibat ditumbuk suspek.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Azhar Hashim berkata, mangsa pada awalnya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang dikenalinya kira-kira pukul 3 pagi yang memerlukan bantuannya.
Katanya, mangsa kemudian menunggang motosikal untuk berjumpa dengan wanita terbabit di hadapan sebuah restoran.
“Bagaimanapun, apabila menghampiri wanita terbabit, seorang lelaki datang menghalang motosikal yang dinaiki mangsa dan seorang lagi lelaki yang dikenalinya datang ke arah mangsa lalu merampas telefon bimbit miliknya.
“Suspek turut menarik baju mangsa dan secara tiba-tiba menumbuk muka manakala dua lagi rakan suspek membaling topi keledar ke arah mangsa sambil menendang motosikal.
“Mangsa yang cedera muka kemudian melarikan diri sebelum membuat laporan polis,” katanya di sini hari ini.
Azhar berkata, susulan itu, polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 20 tahun di Taman Kemuning dan Taman Selasih kira-kira pukul 2.30 pagi semalam.
Pada masa sama, jelasnya, polis masih memburu seorang lagi suspek yang terlibat dalam kejadian itu.
Katanya, suspek direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE










