Patriotisme anak muda hanya bermusim? - Utusan Malaysia

Patriotisme anak muda hanya bermusim?

Sepanjang bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia, anak-anak muda bangga mempamerkan semangat patriotisme dan nasionalisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.” Ia satu pengiktirafan terhadap peranan anak muda dalam pembangunan bangsa, negara dan agama. Jika ditelusuri sejarah negara, anak muda merupakan aktor terhebat dalam memperjuangkan kemerdekaan dan meniupkan semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan rakyat Tanah Melayu ketika itu. Jelas sekali, penubuhan parti-parti politik serta penulisan dan kewartawanan kebanyakkannya dimonopoli oleh anak-anak muda.

Tahun ini genap 63 tahun kita merdeka dan pada 1963 pula, Malaysia dibentuk dan dimasyhurkan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Ini menjadi satu bentuk perpaduan baharu yang menggabungkan pelbagai etnik di Semenanjung, Sarawak dan Sabah. Tunjang kepada perpaduan, satu formula khas terbentuk pada 1970. Genap 50 tahun, Rukun Negara menjadi pasak kepada keharmonian negara.

Kalau diimbau sejarah lama Melayu Melaka, sememangnya tanah ini adalah gelanggang pertemuan pelbagai agama, bahasa dan budaya dari seluruh dunia, sehinggakan bahasa Melayu menjadi lingua-franca antara pemerintah, masyarakat dan pedagang. Jelas membuktikan dalam kepelbagaian ini wujud perpaduan yang telah disemai sejak lama.

KEBIMBANGAN

Mutakhir ini, acapkali ditanyakan mengenai anak muda kita. Pelbagai reaksi dan pandangan diberikan daripada segenap lapisan umur dan masyarakat. Rata-rata mengakui tingkah laku dan cara pemikiran anak muda kini telah berubah berbanding zaman dahulu, khususnya semangat patriotisme yang semakin luntur dan pudar. Jelas sekali, sudah mula wujud benih-benih ancaman untuk merosakkan hubungan pelbagai kaum. Hal-hal sensitiviti seperti perkauman dan agama mula dipersoal dan diaibkan di dalam media sosial aliran anak muda masa kini. Sekiranya tidak dibendung, dikhuatiri sentimen ini akan parah dan terus diwarisi ke generasi akan datang.

Memang diakui, menjelang bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia, anak-anak muda bangga mempamerkan semangat patriotisme dan nasionalisme. Selain mengibarkan Jalur Gemilang di kenderaan dan rumah, banyak pencapaian tertinggi anak muda yang direkodkan di The Malaysia Book of Records setiap kali pada bulan kemerdekaan. Antaranya, puzzle merdeka terbesar, kayuhan basikal teramai, kain rentang terpanjang, larian kemerdekaan dan banyak rekod lain lagi yang perlu diberikan pujian. Namun, aura ini seakan senyap ketika tamat bulan kemerdekaan.

Lihat sahaja hari ini, hampir sebulan bulan kemerdekaan tamat, Jalur Gemilang tidak lagi kelihatan. Pelitup muka bercorakkan Jalur Gemilang juga sudah tidak kelihatan lagi dijual di kebanyakan kedai. Konotasinya, adakah peniaga tudung bawal bercorak bunga raya dan Jalur Gemilang hanya mendapat durian runtuh pada setiap Ogos? Ini yang saya khuatiri, semangat patriotisme dan nasionalisme anak muda hanya bermusim!

ANAK MUDA, PATRIOTISME DAN NASIONALISME

Kita mendambakan negara yang makmur, maju dan berdaya saing. Hakikatnya, kejayaan ini boleh dicapai sekiranya rakyat bersatu padu, saling menghormati perbezaan serta sepakat dalam setiap keputusan kemajuan negara. Malangnya, ‘tangkal perpaduan’ yang diwarisi nenek moyang ini terlihat semakin hilang magisnya. Jati diri anak muda mulai rosak dan sifat nasionalisme hanya kosmetik.

Hormat Jalur Gemilang yang menjadi panji medan tempuran pahlawan negara, kini disongsangkan peranannya sekadar untuk pelengkap reka bentuk dalaman pejabat hanya dalam sebulan.

Cintai sungai yang dahulunya menjadi nadi dan sejarah awal kehidupan nenek moyang kini hanyut dan kotor akibat tabiat tidak bertanggungjawab. Segala perubahan sivik ini harus kita akui, berpunca daripada pengaruh kuat dari luar khususnya Barat. Semestinya sasaran mereka adalah anak muda yang mudah terpedaya.

Patriotisme anak muda tidak sepatutnya bemusim! 31 Ogos dan 16 September bukan hanya cuti umum bagi rakyat Malaysia. Rata-rata program menyemarakkan semangat kebangsaan hanya berlaku pada Ogos setiap tahun. Ia bertambah malang, apabila program-program ini hanya dilakukan di pejabat kerajaan dan institusi pendidikan. Anak muda yang hanya celik menghafal tarikh-tarikh penting negara juga merisaukan. Mereka tidak pernah menghayati perjuangan dan keperitan nenek moyang yang mengharungi perit jerih penjajahan asing.

SARANAN

Justeru, anak-anak muda wajib memahami Rukun Negara, bukan sekadar hafalan atau lafaz ikrar perhimpunan. Setiap prinsip Rukun Negara harus diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Menghormati kepelbagaian agama di samping memegang teguh ajaran agama yang dianuti. Menghormati pemerintah negara yang menjadi payung kepada rakyat. Menghormati Perlembagaan negara dan undang-undang. Mengamalkan nilai akhlak yang murni dan disegani dunia. Praktikalnya, anak muda harus menolak sekeras-kerasnya ideologi yang mempertikaikan ikrar keramat ini. Juga mencantas sebarang usaha yang menghalal dan meraikan perpecahan keharmonian majmuk negara ini.

Penglibatan anak muda dalam sukarelawan harus ditingkatkan. Konsep sejahtera kepada komuniti harus diwujudkan. Tanpa asas, sukarelawan hanya dianggap membantu komuniti dalam kebajikan dan kewangan. Bukan itu sahaja, program sukarelawan harus merentas definisi dengan mentransformasikan komuniti sebagai salah satu jentera kepada pembangunan lestari. Maka anak-anak muda baik di pengajian tinggi, sekolah mahupun sekecil kelompok kejiranan dapat mengimarahkan usaha ini. Saya percaya, budaya ini mengutuhkan keharmonian pelbagai kaum dan etnik. Program sukaralewan sebegini mampu melahirkan anak muda yang bertangguajawab dan sebuah Malaysia Prihatin.

Anak muda pahlawan negara. Sejarah bukan wayang untuk ditontoni, tapi anak muda harus mempelajari kesilapan yang telah dibuat. Siapa lagi, kalau bukan kita yang menjaga keharmonian, perpaduan, kesatuan, kemajmukkan dan kedaulatan negara. Budaya ini perlu konsisten, bukan bermusim!

Seikat bagai sirih,
Serumpun bagai serai,
Segugus bagai pinang,
Setandan bagai pisang.

DR. Syakir Amir Ab. Rahman ialah Timbalan Pengarah, Pusat Perhubungan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Kulliyyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar UIAM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×