
Rasanya sudah lama kisah rumah tangga Nadia Brian menjadi buah mulut dan tanda tanya warganet. Betul ke mereka sudah bercerai? Siapa salah? Puncanya apa? Sampai sekarang Nadia masih mengunci mulut.
Bukan sekali dua Poklip cuba hubungi pelakon cantik itu. Namun tidak dilayan sama sekali. Malah, mana-mana rakan media yang berjaya menghubungi Nadia menerima jawapan sama ‘Tolong beri saya ruang’.
Kita faham situasi yang sedang dilalui Nadia. Sukar untuk dia membuka mulut menceritakan apa yang berlaku. Mungkin dia belum bersedia atau masih mencari kata-kata yang baik untuk disusun menjadi ayat.
Tetapi baru-baru ini, suaminya, Muizz Nasrudin memuat naik gambar dengan kaspyen yang menunjukkan mereka sudah tidak lagi bersama. Malah, dia juga mengundang spekulasi apabila meletakkan tanda pagar seolah-olah mahu menunjukkan sesuatu.
Rata-rata warganet mula memakai persalinan detektif dan mula buat kerja. Masing-masing ada teori dan sumber sendiri. Malah, nama pelakon, Aidit Noh juga turut terpalit.
Tanda pagar #FromParisToKuantan #EiffelFor Cherating #ANvsNB juga seolah-olah merujuk kepada lokasi penggambaran drama Sweetie Nanie yang berlaku di sekitar Cherating dan Kuantan.
Malah ada yang mendakwa, huruf AN itu merujuk kepada Aidit Noh.
Poklip sendiri telah menghubungi Aidit dan sekeras-kerasnya menafikan dia adalah orang ketiga yang menjadi punca keretakan rumah tangga. Dia sendiri pelik, takkan sebab berlakon bersama, terus disabit kesalahan sebagai perampas.
Kasihan juga kalau begitu. Tak pasal-pasal dia menerima kecaman dan serangan warganet. Diharapkan agar Nadia segera tampil dan beri penjelasan atas apa yang berlaku. Nak buat macam mana, inilah bayaran bergelar anak seni. Tak gitu. – MINGGUAN











