Menteri pilih 'membisu' intipati Mesyuarat Khas Kabinet - Utusan Malaysia

Menteri pilih ‘membisu’ intipati Mesyuarat Khas Kabinet

KENDERAAN membawa Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar dari bangunan Perdana Putra selepas selesai menghadiri Mesyuarat Khas Kabinet di Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rata-rata menteri Kabinet yang ditemui di pekarangan luar Bangunan Perdana Putra, di sini memilih untuk ‘membisu’ ketika disoal wartawan sejurus selepas tamat Mesyuarat Khas Kabinet, sebentar tadi.

Kebanyakan menteri yang ditemui langsung tidak menurunkan tingkap kenderaan ketika didekati wartawan, malah ada segelintirnya hanya melambai dan melemparkan senyuman.

Lebih 40 pengamal media termasuk wartawan dan jurugambar berkampung di luar bangunan itu sejak pukul 9 pag io bagi mendapatkan perkembangan terkini susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam.

Mesyuarat dipercayai bermula pukul 11.30 pagi dan berakhir pukul 2 petang.

Sementara itu, hanya Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang membuka tingkap untuk menyantuni wartawan.

Beliau bagaimanapun enggan menjawab ketika ditanya mengenai intipati mesyuarat, sebaliknya memaklumkan akan bergerak ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat Barisan Nasional (BN).

“Nak pergi lah ni, nak mula dah ni,” katanya ketika disoal media sama ada beliau akan menghadiri mesyuarat berkenaan atau tidak.

Hishammuddin perlu berada dalam mesyuarat berkenaan selepas beliau dilantik sebagai Bendahari Agung BN beberapa hari lalu bagi menggantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Difahamkan, semua Ahli Parlimen BN dipanggil untuk menghadiri mesyuarat tergempar petang ini, namun butiran lanjut mengenai mesyuarat itu tidak didedahkan.

Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 9.20 pagi tadi bagi mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan.

Selain barisan Jemaah Menteri, turut hadir pada mesyuarat sama termasuklah Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Turut dilihat memasuki Bangunan Perdana Putra ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden MIC, Tan Sri S. A Vigneswaran iaitu kira-kira pukul 9.20 pagi sebelum beredar pukul 11.30 pagi.

Usaha wartawan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertemuan itu juga tidak berjaya kerana mereka terus meninggalkan bangunan tanpa bertemu dengan pihak media.

Difahamkan, mesyuarat khas Kabinet hari ini adalah bagi membincangkan tindakan susulan titah Seri Paduka Baginda semalam bahawa tiada keperluan untuk mengisytihar darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia buat masa ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya