KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) perlu memahami peranan yang sepatutnya dimainkan secara keseluruhan bagi meningkatkan ekonomi bumiputera yang masih ketinggalan berbanding kaum lain.
Menegaskan perkara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad (gambar) berkata, peranan itu tidak seharusnya dimainkan agensi lain kerana kegagalannya jelas diperlihat.
Ia merujuk kepada beberapa badan lain seperti Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) dan Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TeraS)-TERAJU yang hanya membentangkan laporan yang bersifat ‘kosmetik’.
“Majlis Mara dan pengurusan Mara faham atau tidak peranannya? Ia merupakan majlis pengurusan yang perlu melaksanakan hak untuk orang Melayu dalam aspek pendidikan dan ekonomi.
“Ia diperuntukkan dalam akta Mara dengan perkara 36 ada menyebut Mara adalah sebuah agensi orang Melayu. Setiap perkara yang ingin dilakukan tidak perlu ke Parlimen untuk diluluskan.
“Tapi apa yang dia buat? Mara peruntukkan RM100,000 kepada anak-anak Melayu untuk belajar di luar negara? Kalau itu sahaja yang dilakukan, tak perlu ada Mara pun tidak apa. Tubuh satu unit di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pun dah cukup, tak perlu ada Mara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian bagi mengulas jurang pendapatan purata antara kaum bumiputera dan Cina RM2,802 tahun lalu, empat kali lebih tinggi berbanding pada tahun 1989 dengan kadar paras kemiskinan tinggi berbanding kaum lain iaitu 7.2 peratus.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju untuk meletakkan perkara dan agenda berkaitan hal ehwal pembangunan bumiputera di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Itu memang patut, sebab berapa banyak agensi kerajaan yang hanya main wayang, yang kenyang hanyalah konsultan, sebab itu kita lihat laporan mereka semua cantik, tetapi apabila jabatan Perangkaan keluarkan statistik, ia jauh berbeza, apa maknanya,” ujar beliau.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd. Kadir menyatakan nilai ekuiti bumiputera berjaya ditingkatkan kepada RM5.4 bilion atau 1.5 kali ganda modal dilaburkan.
Mengulas lanjut, Hasan turut berkata, ekonomi bumiputera akan terus lumpuh jika tiada penyelesaian dibuat selain menubuhkan pelbagai agensi bagi menyelamatkan perkara tersebut.
“Tun Razak pada 7 Jun 1965 ada mengumumkan resolusi Kongres pertama RIDA menjadi Mara, ia melakar sejarah baru dan menjadi tunggak kepada kemajuan pembabitan bumiputera dalam perdagangan dan perindustrian.
“Majlis Mara faham atau tidak pada perkara yang dihajatkan Tun Razak,” soalnya lagi. – UTUSAN










