Lorong, pondok jadi tempat berteduh keluarga Nagaraj - Utusan Malaysia

Lorong, pondok jadi tempat berteduh keluarga Nagaraj

SHAHBUDIN Monil (dua dari kanan) bertanya khabar S.Letchumi (dua dari kiri) dan M.Nagaraj (kiri) ketika melawat pasangan itu yang tinggal di dalam khemah di tapak rumah mereka yang terbakar berhampiran Stesen KTMB Klang, Selangor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sudah jatuh ditimpa tangga. Itu nasib yang boleh digambarkan berlaku kepada pasangan suami isteri dari Seri Andalas, di sini selepas menjalani kehidupan serba kekurangan berikutan rumah mereka musnah dalam kebakaran, Ogos lalu.

Pasangan suami isteri, M. Nagaraj, 38, dan S. Letchumi, 28, yang tinggal di tapak rumah sama berhampiran Stesen KTMB Klang, beralaskan kotak dan berdindingkan kain dite­mani anak mereka berusia enam tahun pada siang hari.

Pada waktu malam pula, mereka tidur di lorong Seri Andalas kerana bimbang didatangi haiwan berbisa.

Lebih menyedihkan, mereka terpaksa berpisah dengan lima anak lain berusia 10 tahun hingga 15 tahun berikutan kesemuanya ditempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak di daerah ini selepas peristiwa itu.

Menurut Letchumi, rumah yang terbakar adalah milik majikan suaminya dan mereka tinggal di kawasan tersebut sejak 10 tahun lalu.

Katanya, sejak kebakaran itu, hidup mereka sekeluarga menjadi tidak menentu kerana tiada tempat berlindung.

“Siang kami berada di kawasan rumah lama, malam terpaksa tidur di lorong. Kami terpaksa kerana takut jika ada haiwan berbisa datang dan membahayakan keselamatan.

“Suami saya bekerja sebagai buruh kasar berhampiran rumah dengan pendapatan RM40 sehari. Saya pula tidak boleh ke mana-mana kerana perlu menjaga anak,” katanya di sini baru-baru ini.

Terdahulu, mereka me­nerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Pusat Dalam Komuniti (PDK) Bandar Botanik Klang dan Persatuan Kebajikan Suara Rakyat Selangor (SPV).

Tambah Letchumi, sejak kejadian tersebut, mereka sekeluarga tidak pernah didatangi mana-mana pihak sehingga dua pertubuhan tersebut sudi membantu.

“Ini bantuan pertama kami terima setelah hampir sebulan lebih rumah kami terbakar.

“Saya berharap ada pihak memberi bantuan tempat tinggal supaya saya dan suami serta anak-anak dapat kembali bersama. Pergerakan kami agak terbatas kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Mukim Klang,” katanya.

Sementara itu Pengerusi PDK Bandar Botanik Klang, Datuk Shahbudin Monil berkata, pihaknya akan melaporkan kes tersebut kepada pihak berkuasa berkaitan minggu depan.

“Kita menerima maklumat daripada sukarelawan SPV dan mereka mengatakan ternampak keluarga ini di salah sebuah bank di Klang meminta bantuan.

“Perkara paling utama adalah keluarga ini perlu tempat tinggal. Kawasan ini pun tidak selamat dibimbangi ada binatang berbisa dan risiko berlaku banjir kilat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya