PUTRAJAYA: Kes positif Covid-19 amat mengejutkan semalam apabila melonjak ke empat angka iaitu 1,228 kes, tertinggi dalam sejarah negara dengan tujuh lagi kematian direkodkan selain pertambahan enam kluster baharu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun kes tertinggi masih dicatatkan di Sabah dengan 889 kes, namun penularan jangkitan di Lembah Klang semakin membimbangkan dengan pertambahan 95 kes baharu iaitu 29 kes daripadanya adalah daripada kluster sedia ada dan baharu.
Menurut beliau, Selangor turut mencatatkan pertambahan 76 kes sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri itu sebanyak 3,880 kes.
Katanya, jika dibandingkan dengan tempoh 14 hari lalu iaitu pada 11 Oktober, Selangor mencatatkan 26 kes (jumlah kumulatif kes positif adalah 2,601 kes).
“Kenaikan 1,279 kes ini telah dilaporkan di beberapa daerah mengakibatkan jumlah daerah merah di Selangor meningkat dari dua kepada enam daerah dalam tempoh 14 hari ini dengan kenaikan paling ketara adalah dalam daerah Hulu Langat (168 kes), Klang (115 kes) dan Gombak (93 kes),” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Noor Hisham berkata, peningkatan kes penularan tempatan di Selangor mula dilihat pada 2 Oktober dan meningkat secara konsisten.
Katanya, jika dilihat semula kronologi situasi penularan Covid-19 di negeri itu dalam gelombang ketiga ini, kluster pertama yang dilaporkan adalah Kluster Jalan Apas pada 28 September lalu melibatkan keluarga yang pulang dari Sabah menjadikan keseluruhan kes berkaitan sebanyak 196 kes dan sembilan kluster dikesan di Selangor berkaitan pengunjung pulang dari Sabah.
“Namun begitu, didapati mula berlaku pula penularan tempatan di Selangor dan saban hari lebih banyak kes dan kluster tempatan dikesan (35 kluster aktif).
“Situasi sama ini dilihat di Kedah sebelum ini, bermula daripada kluster kes import iaitu Kluster PUI Sivagangga, dan kemudian lebih banyak kluster penularan tempatan di kesan di negeri itu.
“Mutakhir ini iaitu mulai 11 Oktober, penularan tempatan di Selangor pula mengakibatkan kluster berkaitan tempat kerja yang mana setakat ini enam kluster dikesan di Selangor,” katanya.
Dalam pada itu Noor Hisham berkata, peningkatan mendadak semalam adalah disumbangkan daripada tahanan Kluster Penjara Kepayan, Kluster Penjara Seberang Perai, Penjara Reman dan Kluster Tembok iaitu sejumlah 502 kes.
Katanya, hanya dua kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah menjadikan jumlah kes dilaporkan berkaitan sejak 20 September lalu adalah sebanyak 468 kes.
“Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 25,742 kes dan kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 8,966 kes selain kes pulih merekodkan 671 kes,” katanya.
Kata beliau, enam kluster baharu yang dicatatkan semalam ialah Kluster Mesra melibatkan Sandakan (22 kes), Kluster Megah di Sandakan (15 kes), Kluster Kaya di Seremban dan Putrajaya (55 kes), Kluster Bah Kayu di Gombak dan Titiwangsa (17 kes), Kluster Baki di Kuching (lima kes) dan Kluster Kempas di Johor Bahru dan Kulai (lapan kes).
Beliau menambah, peningkatan kes di negeri-negeri lain pula ialah Negeri Sembilan (96 kes dengan 54 kes daripadanya adalah daripada Kluster Kaya), Kedah (76 kes), Pulau Pinang (23 kes), Labuan (21 kes), Perak (10 kes), Sarawak dan Kuala Lumpur (lapan kes), Johor (tujuh kes) dan Melaka (tiga kes).
Sehingga kini, katanya, terdapat 92 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang mana 31 kes memerlukan bantuan pernafasan. – UTUSAN ONLINE










