KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) tidak bersetuju dengan kenyataan Presiden Perancis, Emannuel Macron yang mencetuskan Islamophobia.
Ketua Penerangannya, Datuk Seri Azmin Ali dalam satu kenyataan berkata, beliau kecewa dengan tindakan presiden itu yang bersikap tidak menyeluruh.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya ucapan presiden Perancis baru-baru ini. Macron menyerang Islam, Nabi Muhammad SAW dan umat Islam secara terus serta terbuka.
“Pemahaman beliau terhadap agama lain dan sikap menyeluruh dalam kepemimpinan diketepikan. Perkara ini amat mengecewakan apabila seorang ketua negara terutama yang merupakan anggota G7 memilih jalan chauvinisme dan menolak toleransi agama,” katanya.
Azmin berkata, tindakan presiden negara itu adalah satu penghinaan kepada semua yang menghormati kebebasan beragama.
“Ucapan penghinaan itu tidak dapat diterima sama sekali dan harus dicela oleh semua orang yang berfikiran waras tanpa mengira kewarganegaraan atau agama.
“Kenyataan Macron dalam memfitnah Nabi serta menganggap umat Islam sebagai pengganas dan pemisah adalah ucapan berunsur kebencian serta menyemai kebencian dan permusuhan terhadap orang Islam,” katanya. – UTUSAN ONLINE