Gantung Parlimen pilihan terakhir tangani krisis politik - Utusan Malaysia

Gantung Parlimen pilihan terakhir tangani krisis politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Ketua Negara boleh menggantung sidang Parlimen dan mengisytiharkan darurat sebagai langkah terakhir menyelesaikan krisis politik termasuk usaha mencabar kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri menerusi usul undi tidak percaya.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Shamrahayu Abdul Aziz berkata, kaedah itu dilihat sebagai strategi ‘simpanan’ selaras dengan peruntukan yang termaktub dalam Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk menyelesaikan krisis demokrasi berparlimen.

Namun, ia tidaklah semudah disangka kerana penggantungan Parlimen hanya akan berlaku apabila keadaan genting dan jalan penyelesaian lain secara demokrasi menemukan jalan mati.

Prof. Dr. Shamrahayu Abdul Aziz

“Kedua-dua (gantung Parlimen dan isytihar darurat) ini adalah kuasa tersimpan yang kekal di bawah prerogatif raja berperlembagaan. Pengisytiharan boleh dibuat setelah Seri Paduka berpuas hati berlakunya sesuatu perkara yang menggugat keselamatan dan kehidupan ekonomi negara, atau ketenteraman awam seperti yang pernah berlaku pada peringkat negeri di Sarawak dan Kelantan sebelum ini.

“Walaupun memprorog atau menggantung Parlimen dibenarkan oleh undang-undang namun prinsip asal demokrasi iaitu kerajaan bertanggungjawab dan keluhuran Perlembagaan tetap menjadi kayu pengukur. Kerajaan hendaklah mengambil kira prinsip bertanggungjawab kepada Parlimen walaupun tiada sidang Parlimen,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Prorog Parlimen adalah pemberhentian atau penggantungan sidang Dewan Rakyat apabila berlaku sesuatu konflik semasa sesi persidangan tanpa perlu membubarkannya. Tempoh masa prorog tersebut berlangsung selama enam bulan dari tarikh persidangan terdahulu.

Berdasarkan Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan, hanya Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil Parlimen untuk bersidang manakala Perkara 55 (2) memperuntukan Yang di-Pertuan Agong berkuasa menghenti atau membubarkan Parlimen.

Ditanya apakah pilihan yang ada pada Perdana Menteri sekiranya usul undi tidak percaya diluluskan, Shamrahayu berkata, Muhyiddin tiada pilihan selain menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Muhyiddin hendaklah meletakkan jawatan atau meminta Seri Paduka membubarkan Dewan menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya Perdana Menteri enggan meletakkan jawatan dan meminta Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen tetapi Yang di-Pertuan Agong enggan membubarkan Dewan, maka beliau hendaklah meletakkan jawatan.

“Mungkin pembubaran Parlimen demi melaksanakan pilihan raya umum bukan pilihan terbaik ketika ini akibat dpenyebaran pendemik Covid-19. Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 26 September lepas menjadi bukti,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN