Gadis maut, dua rakan parah nahas di Rembau - Utusan Malaysia

Gadis maut, dua rakan parah nahas di Rembau

KEADAAN kereta yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 232.8 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara), dekat Rembau, Negeri Sembilan, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang remaja perempuan maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 232.8 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara), dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, C. Breanna Anne Malar, 18, yang beralamat di Skudai, Johor disahkan maut di lokasi kejadian, sementara dua lagi rakannya iaitu lelaki berusia 20 tahun dan perempuan berusia 19 tahun mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kemalangan berkenaan membabitkan kereta jenis Toyota Yaris dinaiki mangsa bersama dua rakannya dan sebuah lori jenis Isuzu.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dalam perjalanan menghala ke Senawang. Sebaik sahaja tiba di lokasi, pemandu kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang lori yang sedang bergerak di lorong kiri.

“Kereta yang dinaiki mangsa terbabas ke kiri lebuh raya dan melanggar tebing bukit. Mangsa yang duduk di bahagian tempat duduk penumpang belakang maut kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Anuar Bakri berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat manakala dua rakannya dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk rawatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Dalam pada itu, susulan kejadian berkenaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau diketuai Pegawai Bomba, Abdul Hakim Awang ditugaskan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan.

Difahamkan, anggota bomba mengambil masa selama kira-kira 15 minit bagi membawa mangsa yang maut keluar daripada kenderaan kerana tersepit di tempat duduk belakang.

Sementara itu, pemandu lori, Mohd. Isa Wahab, 49, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan menghantar roti dari Ayer Keroh menghala ke Senawang.

Menurutnya, seperti biasa dia memandu di lorong paling perlahan dan secara tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.

Katanya, dia segera memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan selepas memastikan kawasan berkenaan selamat.

“Sebaik sahaja saya menghampiri kereta berkenaan, saya lihat orang ramaii membantu mengeluarkan dua mangsa di hadapan yang tidak tersepit.

“Saya tak berani nak lihat mangsa yang maut kerana sepanjang 20 tahun bekerja sebagai pemandu lori, ini adalah pengalaman pertama terbabit dalam kemalangan maut seperti ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.