Dua pelajar terselamat pondok madrasah terbakar - Utusan Malaysia

Dua pelajar terselamat pondok madrasah terbakar

MOHD. Faizal Shafie (kanan) bersama dua pelajar melihat pondok yang musnah dalam kebakaran di Madrasah Islahiah Kampung Paya Kelubi, Sungai Karangan, Kulim, Kedah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Dua pelajar yang tinggal di sebuah pondok di Madrasah Islahiah Kampung Paya Kelubi, Sungai Karangan di sini terselamat dalam kejadian kebakaran malam semalam.

Pondok dua pintu itu musnah kira-kira 90 peratus dalam kebakaran yang berlaku pada pukul 7.25 malam.

Seorang guru di madrasah terbabit, Mohd. Faizal Shafie, 36, berkata, ketika kejadian, dua pelajar terbabit berada di masjid untuk solat Maghrib yang terletak kira-kira 80 meter dari pondok tersebut.

Katanya, dua pelajar berkenaan adalah antara 30 orang yang berada di pondok di kawasan madrasah tersebut.

“Sebaik sahaja selesai solat Maghrib, kami ternampak api menjulang tinggi dari pondok tersebut dan beberapa pelajar berlari untuk memadamkan kebakara namun api marak dengan cepat sehingga memusnahkan pondok terbabit.

“Syukurlah ketika kejadian tiada pelajar di pondok itu yang menempatkan dua pelajar tetapi semua barangan mereka seperti pakaian serta buku-buku penting tidak sempat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jumlah pelajar di madrasah itu ialah 120 orang berusia antara 13 tahun hingga 50 tahun tetapi kebanyakan mereka bercuti sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Jumlah pondok yang menempatkan pelajar-pelajar itu pula ial;ah sebanyak 160 buah dan setiap pondok berukuran kira-kira lima meter panjang dan lima meter lebar.

Mohd. Faizal berkata, kebakaran tersebut kali ketiga berlaku di kawasan ini sejak 2015.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hitech, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Yusri Yussof berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira tujuh minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke pondok-pondok lain berdekatan.

“Punca kebakaran dan nilai kerugian dalam kebakaran itu masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya