Doktor muda rugi RM20,000 ditipu ‘Datuk Ridzuan’ - Utusan Malaysia

Doktor muda rugi RM20,000 ditipu ‘Datuk Ridzuan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang doktor berusia 27 tahun dari Bayan Lepas di sini menjadi mangsa terbaharu sindiket Macau Scam membabitkan kerugian sebanyak RM20,168.60.

Lelaki itu pada mulanya menerima panggilan telefon pada 24 Oktober lalu daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai Datuk Ridzuan iaitu ‘pegawai’ Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Kelantan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. A. Anbalagan berkata, suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai perniagaan selama 18 bulan melibatkan syarikat Umika Trading yang didaftarkan atas namanya.

Katanya, mangsa yang menafikan perkara itu kemudian disambungkan kononnya ke Ibu pejabat Polis Kontijen Kelantan sebelum dimaklumkan dia turut disyaki terlibat dalam kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram.

Tambahnya, mangsa turut diberitahu akan dihubungi pendakwa raya untuk membantu kes berkenaan dan pengadu perlu memberi kerjasama dalam siasatan dijalankan.

“Pada hari sama, pengadu menerima sebanyak 12 mesej Kod Pengesahan Transaksi (TAC) daripada bank dan diminta menghantar kepada suspek bagi tujuan mahu menyelesaikan kes tersebut dan dia berbuat demikian.

“Namun pengadu semalam menyemak baki akaunnya di sebuah bank di Pantai Jerejak dekat sini dan mendapati wang dalam akaun miliknya hilang seterusnya mengesyaki telah ditipu menerusi panggilan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anbalagan mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali dan mendakwa terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah.

“Orang ramai juga diingatkan tidak memberikan sebarang maklumat perbadi atau maklumat bank sewenang-wenangnya kepada mana-mana pihak yangg tidak boleh dipercayai kesahihannya,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya