MELAKA: Polis mengeluarkan kompaun kepada 515 individu selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sepanjang tempoh 1 Oktober hingga kelmarin.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua yang dikenakan kompaun berusia antara 21 tahun hingga 55 tahun.
“Mengikut pecahan, seramai 466 individu dikenakan kompaun adalah lelaki. Antara kesalahan dikesan adalah pemilik premis perniagaan gagal menyediakan petugas untuk mengimbas suhu pelanggan dan memastikan pelanggan mengimbas kod MySejahtera, selain tidak memakai pelitup hidung dan mulut di premis perniagaan,” katanya selepas mengetuai Operasi Covid-19 di Ayer Keroh di sini, hari ini.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak empat premis perniagaan diperiksa dan enam kompaun dikeluarkan kepada tiga pelanggan dan penjaga premis kerana gagal mematuhi SOP.
Mengulas lanjut, Eng Lai berkata, seramai 48 orang daripada jumlah tersebut turut ditangkap melakukan pelbagai kesalahan lain seperti berjudi di tempat terbuka.
“Kita ingin mengingatkan pemilik premis perniagaan menyediakan petugas bagi mengimbas suhu pelanggan dan bukan sekadar menyediakannya bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Melaka juga sebuah negeri pelancongan, malah mengikut statistik PLUS Malaysia Berhad (PLUS), sebanyak 1.6 juta kenderaan masuk ke negeri ini sepanjang Ogos. Jadi kita tidak mahu rantaian Covid-19 ini menjejaskan kemasukan pelancong dan membantutkan ekonomi negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE










