Covid-19, perubahan iklim, dua ancaman baharu global - PM - Utusan Malaysia

Covid-19, perubahan iklim, dua ancaman baharu global – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penularan jangkitan pandemik Covid-19 dan perubahan iklim adalah dua ancaman global ketika ini yang perlu diberi perhatian serius oleh setiap negara bagi mencari satu jalan penyelesaian sepakat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika Covid-19 memerlukan vaksin bagi menangani pandemik itu, perubahan iklim juga memerlukan penyelesaian segera yang tidak boleh ditangguhkan lagi demi kehidupan generasi lebih baik.

Beliau berkata, kesan perubahan iklim yang belum pernah terjadi menjejaskan skala ekonomi, peralihan pola cuaca turut memberi ancaman kepada pengeluaran makanan selain peningkatan paras laut merisikokan bencana banjir.

Justeru, kata Perdana Menteri, tanpa tindakan drastik diambil untuk menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim yang berlaku, masa depan menjadi lebih sukar lagi.

“Suhu planet bumi ketika ini terus meningkat. Keadaan ini memberi kesan besar terhadap iklim kita, keselamatan makanan, kesihatan dan kepelbagaian sumber semulajadi. Kita sedang dihambat masa untuk melawan ‘peperangan’ bagi mencegah krisis iklim ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (IGEM) 2020 secara maya, di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, strategi Meningkatkan Kelestarian Alam Sekitar melalui agenda Pertumbuhan Hijau adalah sebahagian daripada Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang dirangka lima tahun lalu.

Bagaimanapun, pandemik Covid-19 memberi cabaran baharu untuk membangunkan ketahanan menghadapi pandemik itu dengan mencari jalan pemulihan hijau.

Kata Perdana Menteri, Malaysia dan semua negara lain perlu memikirkan semula agenda pembangunan masing-masing dengan mengutamakan pembangunan lestari dan teknologi hijau sebagai peranan penting dalam memacu ekonomi.

Beliau berkata, pendekatan pemulihan hijau bukan sahaja dapat memacu ekonomi dan kesejahteraan sosial tetapi mendorong pembangunan negara ke arah ketahanan rendah karbon dan iklim.

Tambahnya, antara usaha Malaysia ke arah pembangunan lestari adalah merangka Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP) dalam tempoh 10 tahun sehingga 2030 yang digerakkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk pengembangan teknologi hijau.

“Dalam konteks ini, Malaysia di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil tindakan cepat dan responsif untuk menangani wabak dan implikasi sosioekonomi dengan memperkenal rancangan pemulihan sosioekonomi seperti Pakej Prihatin dan Penjana demi membantu rakyat serta industri yang terkesan.

“Malaysia, sebagai salah satu dari 12 negara biodiversiti mega di dunia dan antara terawal memulakan teknologi hijau, agenda pemulihan hijau dan kelestarian diberi tumpuan khusus yang akan diumumkan dalam Bajet 2021 tidak lama lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN